Dua vesel nelayan asing ditahan di perairan Miri

Kedua-dua vesel berkenaan ditahan masing-masing kira-kira 38 batu nautika barat laut Kuala Suai dan 31 batu nautika barat laut Kuala Niah. Foto Maritim Malaysia
Kedua-dua vesel berkenaan ditahan masing-masing kira-kira 38 batu nautika barat laut Kuala Suai dan 31 batu nautika barat laut Kuala Niah. Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KUCHING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan dua vesel nelayan asing (VNA) dari Indonesia dan Vietnam menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram di perairan Miri, pada Jumaat.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kedua-dua vesel berkenaan ditahan masing-masing kira-kira 38 batu nautika barat laut Kuala Suai dan 31 batu nautika barat laut Kuala Niah.

"VNA Indonesia ditahan sekitar 12 tengah hari, manakala VNA Vietnam berjaya dipintas pada 5.45 petang hasil maklumat awam yang diterima,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, ketika cubaan menahan VNA Vietnam, anggota bot ronda Maritim Malaysia berdepan situasi cemas apabila kru vesel terbabit bertindak agresif dan enggan bekerjasama.

No Image Caption

"Mereka melakukan manuver berbahaya, selain membaling objek keras dan tajam ke arah anggota penguat kuasa dalam keadaan laut bergelora yang mengancam keselamatan nyawa pasukan keselamatan.

"Namun, tindakan pantas dan profesional anggota Maritim Malaysia berjaya mengawal keadaan serta menahan vesel berkenaan tanpa sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.

Seramai lapan kru termasuk dua tekong terdiri daripada lima warga Indonesia dan tiga warga Vietnam. Foto Maritim Malaysia
Seramai lapan kru termasuk dua tekong terdiri daripada lima warga Indonesia dan tiga warga Vietnam. Foto Maritim Malaysia

Menurutnya, seramai lapan kru termasuk dua tekong terdiri daripada lima warga Indonesia dan tiga warga Vietnam berumur antara 25 hingga 53 tahun turut ditahan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi membawa masuk kedua-dua vesel tahanan ke Kompleks Zon Maritim Miri mengambil masa lebih 18 jam disebabkan faktor cuaca dan lokasi tangkapan yang jauh dari pangkalan.

Menurutnya, bot-bot berkenaan bersama peralatan menangkap ikan dan navigasi yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM3.3 juta telah dirampas, manakala kru disiasat mengikut Akta Perikanan 1985. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!