Makan manis di Kelantan: Budaya atau tabiat?

Gabungan karbohidrat tinggi daripada roti canai dan gula tambahan ini menjadikan hidangan yang ringkas itu sebagai bom gula tersembunyi tanpa disedari..Gambar hiasan.
Gabungan karbohidrat tinggi daripada roti canai dan gula tambahan ini menjadikan hidangan yang ringkas itu sebagai bom gula tersembunyi tanpa disedari..Gambar hiasan.
A
A
A

PENYAKIT tidak berjangkit (NCD) kini menjadi antara penyumbang utama kepada kematian di Malaysia.

Kencing manis, kolesterol tinggi, darah tinggi dan obesiti merupakan antara penyakit yang semakin membimbangkan dari tahun ke tahun.

Lebih memburukkan keadaan, penyakit ini lazimnya tidak menunjukkan simptom pada peringkat awal dan hanya dikesan apabila sudah serius.

Susulan itu, terbaharu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 16.3 peratus penduduk di Kelantan menghidap penyakit kencing manis, iaitu peningkatan 0.7 peratus berbanding indikator purata nasional sebanyak 15.6 peratus.

Beliau memberitahu, kadar kolesterol tinggi juga meningkat dengan mencatatkan 34.9 peratus manakala indikator purata nasional ialah 33.3 peratus.

Statistik ini meletakkan Kelantan antara negeri tertinggi dalam kategori dua penyakit tersebut, melebihi purata nasional.

Walaupun kadar obesiti dan tekanan darah tinggi di negeri itu sedikit rendah berbanding purata negara, peningkatan dua penyakit ini tetap memberi isyarat bahaya kepada kesihatan masyarakat setempat.

Sebagai negeri yang terkenal dengan pelbagai jenis makanan tradisional, amalan pemakanan tinggi gula dan santan menjadi kebiasaan dalam kehidupan harian.

Hidangan seperti kuih akok, jala emas, nekbat dan manisan lain telah menjadi sebahagian daripada identiti budaya masyarakat Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Malah, ada juga tabiat unik seperti menambah gula ke dalam kuah kari ketika makan roti canai, yang turut dianggap ‘biasa’ bagi sesetengah penduduk negeri itu.

Gabungan karbohidrat tinggi daripada roti canai dan gula tambahan ini menjadikan hidangan yang ringkas itu sebagai bom gula tersembunyi tanpa disedari.

Namun, kebiasaan ini tanpa kawalan menyumbang kepada pengambilan gula berlebihan yang akhirnya memberi kesan kepada kesihatan.

Gaya hidup yang kurang aktif dalam kalangan sebahagian masyarakat turut menyumbang kepada risiko penyakit tidak berjangkit ini.

Meskipun pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan seperti Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan program Wellness Hub, usaha berterusan perlu disesuaikan dengan budaya tempatan.

Program pendidikan kesihatan yang lebih dekat dengan masyarakat akar umbi harus digiatkan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga pemakanan dan rutin senaman.

Pendekatan holistik melibatkan tokoh masyarakat, institusi agama dan pihak berkuasa tempatan perlu diterajui bagi mengubah gaya hidup rakyat Kelantan secara berperingkat.

Namun persoalannya, sampai bila budaya makan manis tanpa kawalan ini akan terus dibudayakan dan adakah masyarakat sedia untuk mengubah kebiasaan demi kesihatan generasi akan datang?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!