Kencing manis, kolesterol tinggi: Ramai pesakit di Kelantan bersikap acuh tak acuh

KOTA BHARU - Bersikap acuh tak acuh terhadap penyakit yang dihidapi selepas didiagnosis antara faktor masyarakat Kelantan menghidap kencing manis dan kolesterol tinggi.
Setiausaha Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG) Negeri Kelantan, Rozaida Mohd Yunus berkata, ramai dalam kalangan pesakit kencing manis tidak mengambil serius penyakit mereka dan enggan mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pakar perubatan.
Beliau mengakui terdapat peningkatan dalam pembelian ubat kencing manis di farmasi, namun ramai dalam kalangan pesakit tidak mengambilnya kerana dimomokkan kononnya ubat tersebut memberi kesan kepada kerosakan buah pinggang.
“Mereka sepatutnya menjaga kesihatan, malam pun makan nasi berlauk tetapi tidak bersenam,” katanya.
Rozaida turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga pemakanan, terutama mereka yang mempunyai sejarah genetik penyakit tersebut.
Beliau turut kesal kerana terdapat pesakit yang memilih rawatan tradisional sebagai alternatif dan pada masa yang sama menolak pengambilan ubat daripada pakar.
“Keadaan ini mengakibatkan paras gula meningkat sehingga boleh menyerang saraf mata dan buah pinggang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
