Lelaki maut dirempuh lori depan masjid

SUNGAI BULOH - Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah lori dalam kejadian berhampiran Masjid Bandar Baru Sungai Buloh di sini pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 1.36 tengah hari.
"Kemalangan melibatkan sebuah lori yang melanggar sebuah motosikal dan merempuh gerai penjaja serta pagar masjid.
"Terdapat seorang mangsa lelaki tempatan berumur 30 tahun telah tersepit di bawah lori dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 1.44 tengah hari.
Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
