Penunggang motosikal maut rempuh lori

TEMERLOH – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 157, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 petang itu, kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan lori jenis Nissan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, mangsa berusia 22 tahun yang bekerja sebagai buruh disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Temerloh.

“Lori yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dari arah Temerloh ke Kuala Lumpur.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, lori tersebut dari laluan bertentangan telah membelok masuk ke simpang kanan dan telah dilanggar oleh motosikal yang bergerak lurus di bahagian hadapan lori terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, kemalangan tersebut menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

