Israel arah tutup Hospital al-Awda, ‘talian hayat’ di Gaza utara

Mangsa cedera dibawa ke Hospital Al-Awda di kem pelarian Nuseirat, Gaza tengah, selepas serangan Israel pada semalam. Foto AFP
Mangsa cedera dibawa ke Hospital Al-Awda di kem pelarian Nuseirat, Gaza tengah, selepas serangan Israel pada semalam. Foto AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS - Israel mengarahkan penutupan Hospital al-Awda di utara Gaza, menyebabkan pegawai kesihatan terdesak memindahkan puluhan pesakit yang masih berada di kemudahan perubatan itu, ketika serangan bom maut dan kelaparan terus melanda wilayah yang diserang.

Sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin maut dalam serangan Israel sejak awal pagi Khamis.

Kementerian Kesihatan Gaza menyifatkan tindakan Israel itu sebagai “lanjutan pelanggaran dan jenayah” terhadap sektor perubatan di wilayah tersebut.

Al-Awda merupakan satu-satunya hospital yang masih beroperasi di Gaza utara. Penutupan ini berlaku ketika Israel terus memaksa pemindahan rakyat Palestin dari kawasan utara dan timur Bandar Gaza.

“Kementerian Kesihatan menyeru semua pihak berkepentingan memastikan perlindungan sistem kesihatan di Gaza seperti yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 97 orang, termasuk 13 pesakit masih berada di hospital tersebut. Misi pemindahan dijangka dijalankan pada Jumaat.

“Disebabkan jalan tidak boleh dilalui, peralatan perubatan hospital tidak dapat dipindahkan.

“Dengan penutupan al-Awda, tiada lagi hospital berfungsi di Gaza utara yang sekali gus memutuskan talian hayat penting bagi penduduk di sana,” kata WHO.

WHO merayu agar hospital, kakitangan dan pesakit dilindungi dengan selamat.

Artikel Berkaitan:

Israel membedil dan mengepung hospital di Gaza, membunuh lebih 1,400 petugas perubatan, pesakit dan pelarian sejak perang bermula, menurut pihak berkuasa tempatan.

"Kami sudah lima hari tidak melihat makanan atau tepung."

Penutupan hospital ini menambah buruk krisis kemanusiaan yang semakin parah di Gaza, dengan Israel mengekalkan sekatan ketat ke atas wilayah itu. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!