Wanita mengaku tidak bersalah eksploitasi dua kanak-kanak

Haliza (kiri) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memperdagangkan dua kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi aktiviti yang menyalahi undang-undang, Disember tahun lalu.
Haliza (kiri) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memperdagangkan dua kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi aktiviti yang menyalahi undang-undang, Disember tahun lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita warga tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas dua pertuduhan memperdagangkan dua kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi aktiviti yang menyalahi undang-undang, pada Disember lalu.

Tertuduh, Haliza Palok, 55, membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.

Mengikut pertuduhan pertama, Haliza didakwa memperdagangkan seorang kanak-kanak lelaki dikenali berusia antara 10 hingga 12 tahun, kira-kira jam 6.54 petang pada 19 Disember 2024.

Pertuduhan kedua pula melibatkan seorang kanak-kanak perempuan warga Filipina berusia antara 13 hingga 15 tahun yang didakwa dieksploitasi oleh tertuduh pada masa dan lokasi yang sama.

Kedua-dua kanak-kanak tersebut dipercayai berasal dari Filipina dan kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Senai, di sini.

Pendakwaan terhadap wanita itu dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan berkaitan eksploitasi manusia.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan, mengikut peruntukan seksyen yang sama.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia, Tan Yen Thung, manakala tertuduh diwakili peguam Amarpreet Singh.

Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan, dengan dua penjamin warga tempatan, serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke Pejabat Imigresen Johor setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Amarpreet memohon jaminan yang minimum buat anak guamnya kerana tertuduh tidak mengetahui bahawa dia akan dituduh pada hari tersebut, selain memaklumkan bahawa wanita itu dan suaminya tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM17,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua penjamin dan menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!