'Polis Osaka' tipu warga Jepun tumpas

KAJANG – Taktik licik sindiket penipuan telefon (phone scam) yang menyasarkan warga Jepun terbongkar apabila polis menyerbu sebuah banglo tiga tingkat di sini pada 13 Mei lalu.
Serbuan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu berjaya menahan lapan individu termasuk enam warga Jepun.
Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, serbuan tersebut dilakukan hasil risikan serta maklumat berkaitan kegiatan pusat panggilan penipuan yang dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu.
“Seramai enam lelaki warga Jepun dan dua lelaki warga China berusia antara 23 hingga 56 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.
“Kesemua suspek dipercayai berperanan sebagai agen pusat panggilan sindiket ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, pada Jumaat.
Turut dirampas dalam serbuan ialah tujuh unit iPad, satu komputer riba, sembilan telefon bimbit, sembilan modem, satu set skrip, serta satu rangkai kunci dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM25,000.

Muhammed Hasbullah menjelaskan, sindiket itu menyasarkan warga Jepun sebagai mangsa dengan menyamar sebagai pihak berkuasa menggunakan teknik “caller ID spoofing”.
“Mereka menghantar pesanan ringkas (SMS) kononnya daripada Polis Osaka, mendakwa seorang suspek telah ditahan dan kad bank berdaftar atas nama mangsa ditemui.
“Mangsa kemudiannya dihubungi menerusi panggilan suara menggunakan aplikasi Bria Mobile yang meniru nombor telefon rasmi Polis Osaka, bertujuan meyakinkan mangsa bahawa siasatan dijalankan secara sah,” katanya.
Mangsa yang terpedaya kemudiannya diarahkan memberikan maklumat peribadi dan memindahkan sejumlah wang ke akaun yang dikawal oleh sindiket.
“Lebih membimbangkan, mangsa turut diarahkan melaporkan pergerakan harian kepada sindiket. Setelah maklumat dan wang diperoleh, komunikasi diputuskan serta mangsa tidak dapat lagi menghubungi mereka,” tambahnya.
Dua suspek warga China telah dituduh di mahkamah pada 22 Mei lalu mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63.
Manakala enam warga Jepun akan didakwa di Mahkamah pada 3 Jun ini.
Orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang panggilan atau pesanan yang kononnya datang daripada pihak berkuasa, khususnya dari luar negara.
“Jangan mudah panik atau terpedaya. Hubungi pihak berkuasa untuk pengesahan terlebih dahulu,” nasihat beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

