Jakim lapor polis, SKMM berhubung sindiket penipuan guna Tabung Musa’adah

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah membuat laporan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kewujudan sindiket penipuan yang mempergunakan nama Tabung Musa’adah Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi tujuan kutipan sumbangan secara tidak sah.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan tegas diambil di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan.
"Jakim memandang serius aduan awam berhubung kewujudan sindiket penipuan yang mempergunakan nama Tabung Musa’adah Jakim-YWM bagi tujuan kutipan sumbangan secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, Jakim tidak pernah melantik atau menjalinkan sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana individu atau platform pemasaran dalam talian bagi mewakili Jakim dalam membuat kutipan sumbangan ke dalam Tabung Musa’adah Jakim-YWM.
Beliau berkata, sehubungan itu, semua pihak digesa agar sentiasa berwaspada terhadap kewujudan sindiket seperti ini.
"Perlakuan tidak bertanggungjawab ini sudah pasti mencemarkan nama baik agensi hal ehwal agama. Jakim sentiasa konsisten dalam memastikan segala bentuk penganiayaan terhadap rakyat dapat dibanteras sepenuhnya demi menjamin kehidupan rakyat yang sejahtera, aman dan harmoni tanpa sebarang bentuk penindasan,” katanya. - Bernama
Waspada sindiket penipuan guna nama Yayasan Waqaf Malaysia untuk kutip sumbangan
PUTRAJAYA - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan yang mempergunakan nama YWM dan Tabung Musa’adah Jakim-YWM bagi tujuan kutipan sumbangan secara tidak sah.
YWM dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan pihaknya telah menerima aduan mengenai kewujudan sindiket berkenaan dengan modus operandi penipuan dilakukan oleh sebuah platform pemasaran dalam talian.
"Orang ramai dijemput menyertai kumpulan WhatsApp dan Telegram, kemudian diminta atau dipaksa membuat sumbangan dengan janji ganjaran wang tunai sebagai pulangan,” menurut kenyataan itu.
YWM memaklumkan pihaknya sama sekali tidak pernah menjalin sebarang bentuk kerjasama, perjanjian atau pengiktirafan bersama platform pemasaran berkenaan untuk tujuan kutipan Tabung Musa’adah Jakim-YWM atau Tabung Sa’adah Jakim-YWM atau mana-mana tabung serta dana wakaf anjuran yayasan.
"Orang ramai diingatkan dan dinasihatkan supaya tidak terperdaya dengan sebarang tawaran, jemputan atau iklan sumbangan wakaf yang disebarkan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan YWM memandang serius perkara berkenaan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama yayasan dan nama-nama produk untuk tujuan penipuan.
Sebarang maklumat atau aduan berkaitan penipuan boleh disalurkan terus ke pihak YWM melalui saluran rasmi iaitu emel info@ywm.gov.my dan WhatsApp YWM di talian 019-2007481. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
