94.5 peratus setuju baucar buku pupuk minat membaca pelajar

Adibah ketika Pembentangan Dapatan Kajian Impak Program Pemberian Baucar Buku 2024 Terhadap Pembangunan Ekonomi Madani di WTC di sini, pada Khamis. FOTO/ PKB.
Adibah ketika Pembentangan Dapatan Kajian Impak Program Pemberian Baucar Buku 2024 Terhadap Pembangunan Ekonomi Madani di WTC di sini, pada Khamis. FOTO/ PKB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 94.5 peratus responden bersetuju bahawa pemberian Baucar Buku 2024 berjaya mencapai objektif utama iaitu memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar berkata, program itu turut mencapai kadar penebusan 100 peratus selepas ia tamat pada 31 Disember tahun lalu, membuktikan penerima benar-benar memanfaatkan dan menghargai pemberian baucar tersebut.

Menurut beliau, secara keseluruhannya penebusan melalui platform bookcapital.my yang menawarkan lebih 800,000 judul melibatkan 1,000 penjual tempatan berhasil memacu pertumbuhan industri perbukuan nasional menerusi penggunaan teknologi dan analitik data raya.

“Kajian oleh IDE Research Centre ke atas 711 responden di seluruh negara dan melibatkan pelbagai institusi yang menjadi penerima baucar buku ini, 99.2 peratus bersetuju program terbabit patut diteruskan lagi tahun ini.

“Ada beberapa cadangan penambahbaikan dikemukakan seperti capaian internet yang lebih meluas, proses penebusan mesti mudah, membangunkan laman sesawang lebih mesra pengguna dan lain-lain.

“Pada masa sama, 94.5 peratus setuju program ini mencapai matlamat utama iaitu memupuk minat membaca dan 97.5 peratus setuju pemberian baucar buku memberi manfaat kepada pelajar untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti terutamanya golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Pembentangan Dapatan Kajian Impak Program Pemberian Baucar Buku 2024 Terhadap Pembangunan Ekonomi Madani di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Khamis.

Inisiatif Baucar Buku 2024 bernilai RM50 diberikan kepada murid Tahun Empat hingga Tahun 6 manakala RM100 pula buat pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pendidikan tinggi (IPT) dan mahasiswa Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Penebusan Baucar Buku 2024 di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan lebih 3.5 juta penerima bantuan di 14 negeri seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Adibah memaklumkan, 72.1 peratus responden amat berpuas hati dengan kaedah penebusan baucar buku melalui dalam talian memandangkan ramai beranggapan ia lebih telus berbanding pemberian secara fizikal.

Selain itu, katanya, PKB berjaya memastikan akses kepada buku berkualiti dapat diperluaskan kepada pelajar di kawasan bandar mahupun luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak melalui platform e-dagang serta kerjasama syarikat kurier.

“Program ini tidak hanya memperluaskan akses kepada bahan bacaan, tetapi juga menyemai minat membaca dan melahirkan generasi pembaca baharu.

“Rakyat daripada segenap lapisan termasuk anak-anak di luar bandar kini berpeluang memiliki buku yang sama seperti rakan mereka di Kota Buku.

“Malah, program baucar buku ini memberi manfaat kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) melalui bahan bacaan Braille, membuktikan tiada siapa yang terpinggir dalam usaha merakyatkan ilmu,” ujar Adibah lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!