Mohamad Hasan cemerlang diuji tiga acara diplomatik mega serentak

MINGGU lalu merupakan antara kemuncak utama Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan ia pastinya menguji keupayaan serta kemahiran diplomatik Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan keseluruhan jentera Wisma Putra.
Daripada menguruskan koordinasi dalam negara, menangani percanggahan pandangan dalam kalangan pegawai tertinggi ASEAN sehingalah kepada memenuhi keperluan protokol pemimpin-pemimpin besar dunia yang hadir ke Kuala Lumpur.
Kepengerusian ASEAN 2025 kali ini terbukti jauh lebih mencabar berbanding edisi-edisi sebelum ini. Buat pertama kalinya dalam sejarah, sebuah negara tuan rumah ASEAN – iaitu Malaysia – perlu menguruskan bukan satu, tetapi tiga sidang diplomatik besar secara serentak.
Sidang Kemuncak ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, dan yang paling mencabar, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat kali pertama.
Sidang ASEAN-GCC sahaja sudah cukup kompleks kerana melibatkan kehadiran pemimpin-pemimpin kanan dari dunia Arab, termasuk Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamad bin Salman.
Namun yang lebih mencabar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan hasrat untuk menganjurkan sidang kemuncak tiga hala ASEAN-GCC-China hanya beberapa bulan sebelum ia berlangsung.
Sebagai sidang pertama kali, ia memerlukan pengurusan protokol dan rangka kerja (framework) baharu dan notis hanya beberapa bulan lepas sahaja ada satu cabaran luar biasa.
Tahniah kepada Mohamad Hasan dan Wisma Putra yang dalam masa yang singkat berjaya menjadikan sidang ini berjaya.
Membangun Segitiga Strategik Global
Kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China membuktikan bahawa Malaysia, melalui kepimpinan Wisma Putra, kini diakui sebagai hab diplomatik serantau yang matang dan dihormati. Ia membuka ruang baharu bagi pembentukan segitiga strategik rentas benua — melibatkan lebih dua bilion penduduk dan ekonomi gabungan sekitar USD25 trilion.
Lebih daripada itu, kehadiran Premier China Li Qiang secara peribadi ke Kuala Lumpur menggambarkan betapa seriusnya China melihat hubungan ini.
Kejayaan sidang ini turut diakui oleh media luar. China Daily mengangap “China memandang Malaysia sebagai jambatan strategik dalam membina rangkaian kerjasama jangka panjang antara Timur Tengah dan Asia Tenggara yang stabil, pragmatik dan inklusif.”
Akhbar Financial Times dari London pula menyifatkan penganjuran ini sebagai satu langkah berani ke arah “mengimbangi ketidaktentuan global melalui pembentukan pakatan rentas benua yang diketuai oleh negara-negara membangun yang berkepentingan dalam kestabilan dan pembangunan lestari.”
Laporan itu menyebut bahawa Kuala Lumpur berjaya menjadi “nadi penyelarasan diplomasi baharu dunia membangun”, yang tidak lagi mahu bergantung kepada sistem blok lama.
Dalam nada yang sama, The Times of India menekankan bahawa inisiatif Malaysia menganjurkan sidang trilateral ini mencerminkan keberanian untuk “mentakrifkan semula peranan ASEAN sebagai pelaku utama dalam penstrukturan semula ekonomi dan politik antarabangsa.”
Menurut akhbar tersebut, Malaysia memperlihatkan kepimpinan regional yang “tidak apologetik dan tidak subordinat kepada kuasa besar mana-mana pihak.”
Ia satu bentuk pengiktirafan yang besar terhadap keupayaan Malaysia dan kredibiliti Mohamad Hasan selaku Menteri Luar.
Diplomasi Bernilai, Bukan Transaksi
Di luar aspek ekonomi dan kerjasama strategik, sidang ini turut menyerlahkan prinsip dasar luar Malaysia yang menekankan kemanusiaan dan keadilan sejagat.
Malaysia berjaya memimpin perbincangan ASEAN dan GCC ke arah kenyataan bersama mengenai isu Palestin, menandakan solidariti kukuh dalam menyuarakan hak rakyat Gaza.
Kejayaan menyatukan suara antara dua blok yang biasanya berbeza keutamaan politik dan pendekatan diplomasi ini menonjolkan keupayaan Malaysia membina konsensus dalam isu yang kompleks — sesuatu yang hanya mungkin dengan kepimpinan diplomatik yang berwibawa, berprinsip dan dihormati.
Visi Jangka Panjang ASEAN 2045
Kejayaan penyediaan rangka Visi Komuniti ASEAN 2045, satu dokumen strategik yang merangka hala tuju rantau ini dalam mendepani cabaran masa depan termasuk teknologi disruptif, perubahan iklim, krisis kesihatan dan keselamatan ekonomi adalah tanda aras pengurusan diplomasi Wisma Putra yang dipimpin oleh Mohamad.
Melalui visi ini, ASEAN tidak lagi dilihat sebagai pakatan ekonomi semata-mata, tetapi sebagai satu entiti strategik global yang semakin diyakini dan disegani.
Kesimpulan
Apa yang berlaku minggu lalu bukan sekadar tiga sidang diplomatik. Ia adalah ujian sebenar terhadap keupayaan Malaysia di pentas antarabangsa, dan lebih penting lagi, satu pengiktirafan bahawa Malaysia kini memiliki tokoh-tokoh yang mampu berdiplomasi dengan kelas dunia.
Mohamad Hasan tidak hanya mengurus sidang ini sebagai acara — beliau mencorak naratif, mengatur imbangan kuasa, dan membina asas kerjasama masa depan yang bakal membawa manfaat besar kepada rantau dan dunia Islam.
Ketika dunia sedang mencari hala tuju baharu dalam hubungan antarabangsa, Malaysia di bawah kepimpinan Anwar muncul sebagai suara sederhana, berprinsip dan berani menawarkan alternatif. Itulah wajah baharu diplomasi Malaysia hari ini.
Ini adalah kejayaan bersama semua pasukan dalam jentera kerajaan seperti kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Namun penghargaan lebih tentulah kepada Wisma Putra yang menjadi peneraju kepada penganjuran ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

