Itali tegaskan sokongan terhadap Malaysia selaku Pengerusi ASEAN

Lawatan Kerja Timbalan Menteri Luar Itali, Maria Tripodi ke Malaysia pada Isnin. Foto Wisma Putra
Lawatan Kerja Timbalan Menteri Luar Itali, Maria Tripodi ke Malaysia pada Isnin. Foto Wisma Putra
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Itali telah mengkaji semula hubungan bilateral dan membincangkan peluang kerjasama baharu semasa Lawatan Kerja Timbalan Menteri Luar Itali, Maria Tripodi ke Malaysia pada Isnin.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Itali turut menegaskan sokongan kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN semasa makan tengah hari yang dihoskan oleh Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Mohamad Alamin.

"Dua Timbalan Menteri Luar itu mengkaji semula hubungan dua hala Malaysia-Itali dan meneroka peluang kerjasama baharu, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, tenaga dan alam sekitar, pelancongan, serta pendidikan tinggi,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu lagi, Mohamad dan Tripodi turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN 2025 di bawah Malaysia, Presiden Kumpulan Tujuh (G7) Itali pada 2024, serta situasi di Timur Tengah.

Itali menjadi Rakan Pembangunan ASEAN pada 2020, dengan Kawasan Kerjasama Praktikal ASEAN-Itali untuk Rakan Pembangunan (PCA) (2022-2026) berfungsi sebagai rangka kerja untuk kerjasama antara ASEAN dan Itali, menurut kenyataan itu lagi.

Semasa lawatan kerja itu, yang merupakan lawatan pertama Tripodi sejak memegang jawatan pada Oktober 2022, beliau turut bertemu dengan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; serta Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Itali mencatatkan kenaikan 2.1 peratus, mencecah RM13.44 bilion (AS$2.92 bilion) berbanding RM13.16 bilion (AS$2.90 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023, kata kementerian itu.

Itali merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah, dengan jumlah perdagangan bernilai RM14.32 bilion (AS$3.15 bilion).

Sehingga 2024, sejumlah 137 projek dengan penyertaan Itali telah diluluskan, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.53 bilion (AS$967.9 juta), yang berpotensi mewujudkan 11,496 peluang pekerjaan, menurut kementerian itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!