75 papan tanda haram diroboh MBK

Pemasangan papan tanda tanpa kebenaran turut mencacatkan pemandangan bandar. Foto: Facebook MBK
Pemasangan papan tanda tanpa kebenaran turut mencacatkan pemandangan bandar. Foto: Facebook MBK
A
A
A

KUANTAN – Sebanyak 75 papan tanda haram milik 43 syarikat diturunkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menerusi operasi penguatkuasaan khas yang dijalankan di beberapa kawasan tumpuan sekitar bandar ini, pada Rabu.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Nor Hayatul Huda Othman berkata, tindakan itu diambil hasil aduan penduduk dan pemantauan berterusan pihak berkuasa tempatan terhadap pemasangan iklan tanpa kebenaran.

“Papan tanda ini dipasang di lokasi awam seperti tiang elektrik, pagar dan tepi jalan utama tanpa sebarang kelulusan, sekali gus mencacatkan pemandangan bandar serta mengganggu ketenteraman visual.

“Notis arahan penurunan telah dikeluarkan sejak awal tahun, namun masih ada pihak yang enggan akur,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Pasukan penguat kuasa MBK mencabut papan tanda yang dipasang tanpa kebenaran di sekitar Kuantan. Foto: Facebook MBK
Pasukan penguat kuasa MBK mencabut papan tanda yang dipasang tanpa kebenaran di sekitar Kuantan. Foto: Facebook MBK

Beliau berkata, sebahagian iklan juga dipasang di kawasan yang boleh mengundang bahaya kerana menghalang pandangan pengguna jalan raya.

“Pemasangan tidak sah ini bukan sahaja menjejaskan imej bandar raya, malah boleh membahayakan keselamatan awam.

"Jadi, kesemua tindakan tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan Undang-undang Kecil 23(1), Undang-undang Kecil Iklan MBK 2022, yang melarang pemasangan sebarang bahan iklan tanpa kebenaran majlis" jelasnya.

Nor Hayatul Huda turut menegaskan, operasi seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan landskap bandar sentiasa terurus dan selamat.

Artikel Berkaitan:

“Mana-mana individu atau syarikat yang berhasrat memasang papan tanda atau bahan iklan perlu mengemukakan permohonan rasmi dan mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada MBK.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan yang boleh mencetuskan risiko keselamatan atau merosakkan keindahan bandar ini,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!