Papan tanda tiga bahasa di pasar awam bukan baharu - DAPSY

IPOH - Isu papan tanda Pasar Awam Ayer Tawar, Manjung yang diletakkan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina dan Tamil bukan perkara baharu tetapi telah dilaksanakan di pasar awam lain.
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Woo Kah Leong berkata, isu berkenaan disifatkan sengaja dimainkan pembangkang sedangkan ketika bersama di dalam kerajaan sebelum ini tidak berbangkit isu tersebut.
Menurutnya, Pasar Besar Teluk Intan sebagai contoh telah mempunyai papan tanda tiga bahasa sejak tahun 2019 dan tidak pernah berbangkit sebarang isu termasuklah di Ipoh dan Taiping.
"Sewaktu saya memegang Ketua Whip Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan pada tahun 2019, saya telah mengutarakan cadangan meletakkan tiga bahasa untuk papan tanda Pasar Besar Teluk Intan, kesemua Ahli Majlis termasuknya yang telah bersama dengan Perikatan Nasional (PN) kini pun bersetuju pada ketika itu.
"Yang peliknya kini ada Ahli Parlimen PN pula yang sibuk mempersoalkan dan menjadikan Pasar Ayer Tawar yang meletakkan tiga bahasa pada papan tanda pasar itu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kah Leong berkata, meletakkan bahasa Cina dan Tamil di samping bahasa Melayu pada papan tanda pasar awam tidak bermaksud meminggirkan bahasa Kebangsaan.
Katanya, perkara itu tidak harus dijadikan isu seperti mana pihak DAPSY tidak pernah mempersoalkan tindakan meletakkan bahasa Cina di Dataran Cheng Ho, Kelantan adalah polis kerajaan atau sebaliknya.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak berkata, ini kerana DAPSY memahami negara Malaysia adalah negara majmuk dan semua pihak perlu sama-sama meraikan kepelbagaian yang ada.

"Adalah sangat berniat jahat untuk ahli politik memainkan isu sedemikian dan mencuba sedaya upaya untuk memesongkan bahawa kementerian yang ditunjangi kerajaan perpaduan mengenepikan bahasa Kebangsaan sedangkan tidak benar sekali.
"Nasihat saya, berpolitik biarlah dengan cara betul dan murni, jangan disebabkan nak raih populariti dan dapatkan publisiti murahan, kita gadaikan kekuatan kemajmukan negara," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar itu.
Kah Leong berkata, pembangkang seharusnya tidak pilih kasih dalam isu berkenaan kerana ketika bersama di dalam kerajaan sebelum ini tidak pernah berbangkit dan mereka bersetuju melaksanakannya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menerusi hantaran di Facebook mempersoalkan keperluan meletakkan tiga bahasa bagi papan tanda Pasar Awam Ayer Tawar pada dinding bangunan tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas juga meminta penjelasan sama ada papan tanda tiga bahasa itu merupakan polisi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

