'Budu dan tempoyak pun ada di Makkah'

Muhammad Najib (dua dari kanan) melihat makanan yang dijual kepada jemaah haji di kafeteria Land Premium.
Muhammad Najib (dua dari kanan) melihat makanan yang dijual kepada jemaah haji di kafeteria Land Premium.
A
A
A

MAKKAH – Budu, tempoyak malah sambal belacan pun ada dijual di Makkah.

Makanan dalam bentuk pek itu antara yang ditawarkan di kafeteria di Makkah bagi memastikan jemaah haji Malaysia tidak terlalu rindu dengan menu cita rasa tanah air.

Ketua Operasi Kafeteria, Muhammad Najib Zulkifli berkata, terdapat tujuh kafeteria dengan tiga daripadanya di bawah seliaan Tabung Haji (TH) manakala empat lagi dioperasikan oleh pihak luar.

Katanya, menu yang ditawarkan disusun khas mengikut geografi negeri asal jemaah bagi mengekalkan keunikan rasa dan kepelbagaian selera rakyat Malaysia.

“Kita juga bawa produk kopi, mi segera dan jenama biskut yang biasa dijual di Malaysia. Kalau nak cari makanan Malaysia di luar memang susah, jadi kita bawalah khas untuk jemaah di kafeteria ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Land Premium di sini.

Budu, tempoyak malah sambal belacan pun ada dijual di Makkah bagi memastikan jemaah haji Malaysia tidak terlalu rindu dengan menu cita rasa tanah air.
Budu, tempoyak malah sambal belacan pun ada dijual di Makkah bagi memastikan jemaah haji Malaysia tidak terlalu rindu dengan menu cita rasa tanah air.

Menurut beliau, aspek keselamatan makanan menjadi keutamaan apabila setiap hidangan yang dijual akan diperiksa setiap dua jam bagi memastikan ia masih dalam keadaan baik dan segar.

“Kalau makanan itu dah tak elok, kita akan buang terus. Kita tak simpan,” katanya.

Muhammad Najib berkata, untuk menjamin kualiti rasa dan kebersihan, terdapat cef khas untuk menguruskan penyediaan makanan di setiap lokasi.

Artikel Berkaitan:

“Pekerja pula lengkap dengan penutup kepala, sarung tangan dan pelitup muka. Jadi dari segi prosedur operasi standard (SOP) memang dijaga rapi,” ujarnya.

Dari segi harga pula, Muhammad Najib memaklumkan ia ditetapkan mengikut harga siling yang ditetapkan TH dan masih kekal pada kadar berpatutan.

“Kalau makanan berat antara 8 hingga 10 riyal, tapi kita jual lebih rendah daripada itu. Contohnya nasi lemak biasa cuma 6 riyal, kalau ada ayam baru 8 atau 10 riyal. Kuih pula tak boleh lebih 6 riyal,” katanya.

Penekanan pada kebersihan, SOP ketat

Beliau turut menegaskan aspek kebersihan menjadi perkara utama dalam pengoperasian harian dengan kerja pembersihan dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali sehari.

“Kita akan buat cucian sebelum Zuhur, selepas waktu operasi dan juga pada waktu malam. Setiap bekas makanan juga menggunakan bekas hitam dengan penutup lutsinar dan ada label tarikh pengeluaran serta nama makanan,” jelasnya.

Katanya lagi, pihaknya turut menerima kunjungan dan pemantauan berkala daripada pasukan kesihatan dan sebarang teguran akan terus diteliti serta ditambah baik.

“Setakat ini, Alhamdulillah tiada aduan besar daripada jemaah. Kita juga sentiasa semak maklum balas dengan Unit Khidmat Pelanggan TH,” katanya.

Sebanyak 15 jenis menu disediakan setiap hari dengan makanan popular termasuk laksam, mi kari dan bihun sup yang menjadi pilihan utama jemaah.

“Insya-ALLAH cita rasa Malaysia masih kekal di Tanah Suci,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!