Haji 2025: Tiada ancaman epidemik

Kawalan keselamatan turut dipertingkatkan di seluruh laluan masuk ke Makkah.
Kawalan keselamatan turut dipertingkatkan di seluruh laluan masuk ke Makkah.
A
A
A

JEDDAH - Menteri Kesihatan Arab Saudi, Fahad al-Jalajel mengesahkan tiada laporan kes epidemik atau risiko penularan wabak menjelang musim haji pada tahun ini.

"Kami dengan sukacita mengumumkan tiada ancaman kesihatan setakat ini. Kesihatan dan keselamatan bakal jemaah haji kekal menjadi keutamaan kami," lapor Al Arabiya English memetik kenyataannya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan sedang giat membuat persiapan akhir termasuk memantau dengan teliti situasi kesihatan.

Sehingga Isnin, lebih sejuta bakal jemaah haji asing telah selamat tiba di Saudi.

Al-Jalajel menzahirkan penghargaan kepada kesemua negara atas kerjasama mereka mematuhi garis panduan lebih ketat yang ditetapkan pada musim haji 2025.

"Setiap musim haji, kami melakar lembaran baharu dengan persiapan lebih efisien dan perkhidmatan yang dipertingkatkan demi keselesaan jemaah. Tahun ini, kami cuba mengaplikasikan teknologi pintar secara lebih meluas," jelasnya.

Pada tahun ini juga menyaksikan penglibatan sektor swasta tertinggi dalam penjagaan kesihatan haji dengan tiga hospital swasta utama beroperasi di Tanah Suci.

Menerusi mesej kepada bakal jemaah, Al-Jalajel turut menasihatkan para tetamu ALLAH itu supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan jangkitan penyakit dan menjaga kesihatan masing-masing untuk memastikan ibadah mereka berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Kesedaran, pencegahan dan tanggungjawab bukan sahaja pilihan peribadi malah kewajipan agama dan kemanusiaan untuk melindungi kesihatan serta keselamatan kesemua jemaah haji." ujarnya. - Agensi

Trivia

>Pasukan kesihatan ditempatkan di 14 pintu masuk merentasi darat, laut dan udara untuk menyediakan perkhidmatan perubatan segera.

>Setakat ini, lebih 50,000 perkhidmatan jagaan kesihatan telah diberikan termasuk 140 pembedahan, 65 kateterisasi jantung dan prosedur jantung terbuka.

>Di bawah langkah persediaan untuk menghadapi gelombang haba ekstrem, lebih 10,000 pokok telah ditanam, laluan pejalan kaki berbumbung diperluas dan 400 stesen air dan kipas kabus disediakan.

>Kapasiti katil juga ditambah sebanyak 60 peratus berbanding tahun lalu. Sebuah hospital kecemasan baharu dilengkapi 200 katil telah dibuka di Mina manakala tiga hospital lapangan berkapasiti lebih 1,200 katil disiapkan buat para jemaah.

>Bagi memastikan tindak balas kecemasan segera, Saudi menyediakan 11 pesawat pemindahan perubatan, 900 ambulans, dan 71 pusat kecemasan baharu bersama lebih 7,500 ahli paramedik.

>Selain itu, lebih 50,000 profesional penjagaan kesihatan dan teknikal siap siaga untuk musim haji tahun ini.

>Penyelesaian digital canggih juga digunakan termasuk peranti pemantauan pintar untuk jemaah haji berisiko tinggi yang disambungkan terus kepada Hospital Virtual Seha dan perkhidmatan teleperubatan untuk khidmat nasihat perubatan jarak jauh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!