Worldwide Holdings agih bantuan Ramadan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings), meneruskan tradisi tahunan Ramadan dengan mengagihkan bubur lambuk serta barangan keperluan asas kepada warga kerjanya di Mercu Worldwide Seksyen 13, di sini pada Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, program itu merupakan inisiatif tahunan syarikat sebagai tanda kesyukuran serta berkongsi rezeki bersama kakitangan termasuk mereka yang bertugas di tapak operasi seperti loji janakuasa dan projek waste-to-energy.
Menurutnya, antara sumbangan diberikan ialah beras, kurma dan bubur lambuk, selain bayaran bonus awal sebagai persediaan menjelang Aidilfitri.
“Alhamdulillah, setiap kali Ramadan dengan rezeki yang Allah berikan, kita dapat berkongsi dengan warga kerja. Kita bukan sahaja menyantuni kakitangan di ibu pejabat termasuk petugas keselamatan dan semua yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan menilai kemungkinan menambah lagi sumbangan sebelum akhir Ramadan sekiranya keadaan kewangan mengizinkan.
Dalam perkembangan sama, Worldwide Holdings turut menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada Lembaga Zakat Selangor bagi tahun kewangan 2026 (haul 2025).
Penyerahan zakat itu disempurnakan Norazlina kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat.
Penyerahan zakat itu sebagai komitmen berterusan syarikat dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat serta menyumbang kepada pembangunan ummah di negeri ini.
Ringkasan AI
- Worldwide Holdings Berhad mengagihkan bubur lambuk dan barangan keperluan asas kepada warganya di Shah Alam
- Inisiatif tahunan ini sebagai tanda kesyukuran dan berkongsi rezeki dengan kakitangan
- Sumbangan termasuk beras, kurma, bubur lambuk, dan bayaran bonus awal menjelang Aidilfitri
- Pihak syarikat akan menilai kemungkinan menambah sumbangan sebelum akhir Ramadan
- Worldwide Holdings menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada Lembaga Zakat Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

