'Kata sekadar layari internet tapi tutup muka'

Sebahagian pekerja ditahan pihak polis kerana dipercayai terlibat mengendalikan urusan perjudian dalam talian di sebuah premis di tengah ibu kota Kuala Lumpur pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN/ HISYAMUDDIN AYUB.
Sebahagian pekerja ditahan pihak polis kerana dipercayai terlibat mengendalikan urusan perjudian dalam talian di sebuah premis di tengah ibu kota Kuala Lumpur pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN/ HISYAMUDDIN AYUB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Kenapa malu hendak tutup muka, tadi kata sekadar melayari internet sahaja".

Demikian sergah seorang pegawai polis apabila ada suspek yang ditahan cuba melindungi wajah mereka daripada dirakam pihak media.

Seramai 30 individu termasuk seorang warga China ditahan pihak polis di tingkat 19 sebuah bangunan komersial mewah di ibu kota kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti perjudian dalam talian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, Bahagian Siasatan Jenayah D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bersama D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah menjalankan Op Dadu tersebut bermula jam 11.30 pagi pada Rabu.

Beliau berkata, dalam serbuan di sebuah premis yang dijadikan pusat panggilan untuk aktiviti perjudian, pihaknya berjaya membuat tangkapan serta rampasan membabitkan barangan yang digunakan.

"Sejumlah 30 individu telah ditangkap dalam serbuan dilakukan ini termasuk seorang lelaki warga China yang dipercayai sebagai pekerja.

"Mereka yang ditahan adalah 24 lelaki dan enam wanita yang berusia 20 hingga 27 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kata beliau, pihak polis turut merampas sejumlah 30 buah monitor 'All In One' beserta tetikus dan papan kekunci jenama HP, 60 buah telefon bimbit, sekeping kad akses, dua unit router serta satu unit mesh wifi.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, modus operandi sindiket itu adalah mempromosikan judi dalam talian kepada warganegara China.

Katanya, polis percaya sindiket tersebut sudah beroperasi selama dua bulan dan didalangi oleh seorang lelaki warga China yang masih bebas.

"Kesemua yang ditangkap dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk proses dokumentasi," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!