Geng Dedi jadikan hotel 'rumah' PATI

Antara PATI yang ditahan JIM di Johor, pada Selasa.
Antara PATI yang ditahan JIM di Johor, pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA – Taktik sindiket penyeludupan dikenali ‘Dedi’ yang menjadikan hotel sebagai rumah penampungan terbongkar susulan penahanan 11 individu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di Johor, pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan risikan selama tiga minggu, pasukan operasi telah ke lokasi dan menahan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki sebagai ‘dalang utama’ dikenali sebagai ‘Dedi’, serta dua lelaki rakan senegara yang berperanan sebagai ‘tekong’.

“Operasi Khas yang bermula pada jam 10 malam di sekitar Kukup, Skudai dan Batu Pahat, Johor, turut menahan dua wanita warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ dan penjaga premis.

Modus operandi sindiket tersebut ialah membawa masuk dan keluar warga asing melalui laluan laut ke Johor atau ke Indonesia.
Modus operandi sindiket tersebut ialah membawa masuk dan keluar warga asing melalui laluan laut ke Johor atau ke Indonesia.

“Turut ditahan lima lelaki dan seorang wanita warga Indonesia. Kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 47 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, semakan awal mendapati seorang lelaki warga Indonesia telah tinggal lebih masa, manakala warga Indonesia lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Pasukan operasi telah menyita lapan unit telefon bimbit, dua naskhah pasport Indonesia, serta wang tunai berjumlah RM1,173. Kita turut menyita sebuah kenderaan jenis Naza Citra dan sebuah bot yang dipercayai digunakan untuk mengangkut pendatang tanpa izin (PATI),” katanya.

Beliau menjelaskan, modus operandi sindiket tersebut ialah membawa masuk dan keluar warga asing melalui laluan laut ke Johor atau ke Indonesia.

“Bayaran sebanyak RM2,100 dikenakan kepada setiap migran oleh sindiket bagi urusan perjalanan ke Johor atau Indonesia.

Artikel Berkaitan:

“Mereka akan ditempatkan di sebuah hotel yang dijadikan rumah penampungan bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum dibawa masuk atau keluar dari Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lalu.

“Seramai tiga lelaki warga Indonesia dan dua wanita tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Manakala kesemua warga Indonesia yang lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke Pejabat Imigresen di Setia Tropika, Johor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zakaria menegaskan bahawa pihaknya komited untuk membanteras sindiket penyeludupan manusia dalam usaha menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!