Buah fikiran Rafizi tidak dilupakan, diteruskan demi kebaikan negara - Nurul Izzah

Idea dan ilham Menteri Rafizi tidak akan dilupakan, sebaliknya akan diteruskan dan diperhalusi untuk dimanfaatkan demi kebaikan negara.
Idea dan ilham Menteri Rafizi tidak akan dilupakan, sebaliknya akan diteruskan dan diperhalusi untuk dimanfaatkan demi kebaikan negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Idea dan ilham Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak akan dilupakan, sebaliknya akan diteruskan dan diperhalusi untuk dimanfaatkan demi kebaikan negara.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, beliau percaya bahawa Rafizi masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberikan, sama ada beliau berada dalam kerajaan atau tidak.

“Saudara Rafizi tidak pernah gentar berhadapan dengan kuasa dan tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran.

“Beliau telah memperkenalkan gagasan dan dasar yang mengubah wacana kita, khususnya dalam aspek tadbir urus, ketelusan dan keadilan ekonomi. Saya menghormatinya,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi yang akan berkuat kuasa pada 17 Jun depan.

Menurut Rafizi, langkah tersebut diambil sebagai menghormati prinsip kebertanggungjawaban dan mandat rakyat yang menjadi tunjang perjuangannya dalam politik sejak awal penglibatan.

Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata, fokus beliau akan kekal kepada usaha memperkasakan parti dari dalam.

“Kami akan terus memastikan pimpinan tertinggi parti sentiasa dipantau dengan baik dan saya berazam untuk memastikan kerja-kerja penting terus dilaksanakan.

“Tanggungjawab kita adalah untuk sentiasa saling mengingatkan bahawa kita tidak boleh lari daripada nilai dan prinsip yang kita pegang dan perjuangkan selama ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menjelaskan bahawa satu latihan wajib akan diperkenalkan kepada semua pemimpin parti di peringkat pusat, negeri dan cabang berkaitan undang-undang pengubahan wang haram (AMLA), rasuah dan pematuhan cukai.

“Tadbir urus yang baik seharusnya dibina atas asas prinsip dan ilmu yang kukuh,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!