Lelaki curi pakaian dalam di balkoni pangsapuri diburu polis

Rakaman memaparkan lelaki berkenaan mencuri pakaian dalam wanita di sebuah pangsapuri dalam kejadian pada 23 Mei lalu.
Rakaman memaparkan lelaki berkenaan mencuri pakaian dalam wanita di sebuah pangsapuri dalam kejadian pada 23 Mei lalu.
A
A
A

GEORGE TOWN – Polis kini giat memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian dua helai pakaian dalam wanita yang disidai di balkoni sebuah pangsapuri berhampiran Jalan Dr Wu Lien Teh di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya mengesan kejadian itu selepas satu rakaman video tular dimuat naik di media sosial pada jam 11 pagi Rabu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada 23 Mei lalu kira-kira jam 4.24 pagi.

“Satu laporan polis dibuat oleh bapa mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun, pada hari yang sama pada jam 10.14 pagi.

“Siasatan awal mendapati suspek telah mencuri dua helai pakaian dalam milik anak perempuan pengadu yang disidai di balkoni rumah mereka. Balkoni itu menghadap ke kaki lima pangsapuri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Nabil Fikri Abd Rahman di talian 016-4446590.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 35 saat memaparkan gelagat seorang lelaki mencuri pakaian dalam wanita dari balkoni rumah tular di aplikasi TikTok dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!