Lelaki maut disyaki serangan jantung ketika tunggang motosikal

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang rumah maut dipercayai terkena serangan sakit jantung ketika sedang menunggang motosikal di Jalan Kampung Tetambah, Manir di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd berkata, lelaki berusia 60 tahun itu sedang dalam perjalanan masuk pada jarak kira-kira 70 meter dari rumahnya.
Beliau berkata, mangsa sebelum ini mempunyai sejarah sakit jantung dan lelah.
"Siasatan di lokasi mendapati kejadian berlaku di atas jalan tar iaitu jalan masuk ke rumah mangsa dalam jarak kira-kira 70 meter dari rumahnya.
"Semasa kejadian mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja di Kampung Telari Manir.
"Saksi ditemui di tempat kejadian kebetulan melalui jalan sama memaklumkan nampak mangsa jatuh dari motosikal dan kemudian terus memaklumkan kepada isteri mangsa," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Azli menyatakan pemeriksaan pada tubuh badan mangsa menemui kesan calar pada dahi sebelah kiri, jari kiri dan lutut sebelah kiri.
Menurutnya, pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Manir yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Berdasarkan maklumat daripada isteri mangsa, lelaki berkenaan sebelum ini pernah mengalami serangan jantung dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.
"Sehingga ke hari ini mangsa masih mengambil ubat jantung dan lelah," ujarnya.
Dalam pada itu, Azli memaklumkan tiada unsur jenayah yang berlaku serta diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!