Mayat lelaki tanpa pakaian ditemui terapung di sungai

KUALA PILAH – Mayat seorang lelaki tidak berpakaian ditemui terapung di sungai berhampiran Kampung Pelangai Hilir di sini pada pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mayat lelaki berusia 36 tahun itu pada jam 8.38 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur perbuatan jenayah atau kesan mempertahankan diri pada tubuh mangsa.
"Tiada dokumen pengenalan diri pada anggota tubuh badannya. Mayat tersebut kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, abang mangsa telah tampil ke hospital melakukan pengecaman dan mengesahkan mayat tersebut adalah adik kandungnya yang tidak pulang ke rumah ibu mereka sejak Khamis.
"Lelaki berkenaan turut menunjukkan kad pengenalan milik si mati yang berada dalam simpanannya kepada pihak polis.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah disebabkan lemas. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau tampil di balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

