Jambatan uzur runtuh, lebih 1,000 penduduk terjejas

JERLUN - Jambatan uzur di Kampung Hutan Tualang yang menjadi laluan utama kepada lebih 1,000 penduduk di beberapa kampung sekitar Ayer Hitam dan Kuala Tunjang runtuh pada petang Selasa selepas lebih lima tahun digunakan dalam keadaan tidak selamat.
Insiden yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu dipercayai berpunca daripada arus sungai deras dan sisa tumbuhan air yang tersangkut di bawah jambatan menyebabkan struktur yang telah lama retak tidak lagi mampu bertahan.
Penduduk kini terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh, sekali gus menjejaskan aktiviti harian mereka.
Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Gandai, Mohd Zulhailmi Che Azmi berkata, penduduk telah lama bimbang mengenai keadaan jambatan itu yang sudah menunjukkan tanda-tanda kerosakan sejak 2020.
"Penduduk dah lama risau jambatan ini akan runtuh. Ia menjadi laluan utama bagi pelajar sekolah, petani dan pekerja kilang. Sejak ia retak, hanya motosikal dan kereta boleh melaluinya, tapi sekarang semuanya musnah," katanya pada Rabu.
Mohd Zulhailmi mendakwa, aduan telah dibuat kepada pihak berwajib sejak 2021, namun hanya kerja tampalan sementara dilakukan yang tidak mampu memperkukuh struktur jambatan.
Seorang penduduk, Zulkifli Md Isa, 61, berkata, jambatan berusia lebih 60 tahun itu sudah lama berada dalam keadaan yang membahayakan pengguna, namun masih belum dibaiki secara menyeluruh.
"Pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pernah datang buat tinjauan pada 2022 dan kos baik pulih dianggarkan mencecah RM400,000. Tapi hanya kerja tampalan kecil dilakukan.
"Kami tak ada pilihan, jambatan ini paling dekat untuk kami keluar menjalankan aktiviti harian," ujarnya.

Penduduk kini mendesak pihak berwajib untuk mengambil tindakan segera bagi membina semula jambatan tersebut demi keselamatan dan kemudahan mereka.
"Tak perlu jambatan besar, cukup sekadar jambatan yang selamat untuk semua orang, termasuk kenderaan kecemasan," kata Zulkifli.
Buat masa ini, penduduk terpaksa menggunakan Jalan Tandop-Kuala Tunjang sebagai laluan sementara, namun perlu menempuh jarak lebih dua kilometer melalui jalan rosak yang sering digunakan lori dan jentera pertanian.
Difahamkan pihak berwajib telah membersihkan laluan tersebut bagi kegunaan sementara penduduk terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

