Hakisan ombak: Penduduk terjejas disaran berpindah

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri mencadangkan penduduk yang terjejas akibat hakisan ombak di pekan Sungai Rengit, Kota Tinggi baru-baru ini untuk berpindah ke lokasi yang lebih selamat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, tindakan itu bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Kita memang cadangkan untuk mereka keluar pindah ke tempat lain demi keselamatan dan yang paling penting tidak lagi terkesan dengan bencana (hakisan) yang berlaku.
“Kita juga dah sediakan dan memang kita ada rancang untuk mereka ini berpindah ke tempat yang lebih sesuai berbanding sekarang.
“Bagaimanapun, bagi yang tak boleh pindah itu kita pujuk memujuk lah, tengok macam mana nak selesaikan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Seramai 12 individu daripada empat keluarga di Sungai Rengit, terjejas akibat hakisan ombak pada 12 Januari lalu.
Ia berikutan fenomena air pasang besar, hujan berterusan dan pengaruh musim monsun, menyebabkan hakisan pantai semakin parah, sekali gus mengancam ekosistem setempat, infrastruktur serta keselamatan penduduk.
Aznan berkata, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah diarahkan untuk memantau keadaan dan impak hakisan tersebut kepada kawasan sekitar.
Menurutnya, kebanyakan rumah yang terkesan akibat hakisan berkenaan kini sedang dibaiki oleh pemilik rumah itu sendiri.
Katanya, keadaan sama juga sedang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), khususnya terhadap gerai-gerai di kawasan sekitar yang terjejas akibat hakisan yang berlaku.
“Bagi rumah memang mereka tengah baiki sendiri dan kita bantu mereka dari segi bantuan-bantuan yang lebih penting seperti dari segi kewangan dan sebagainya kepada penduduk yang terkesan.
“Gerai-gerai di kawasan sekitar juga kita akan lihat bagaimana kaedah atau bantuan yang boleh kita salurkan kepada mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

