Hentikan beri makan gajah di JRTB

IPOH – Tindakan sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meletakkan longgokan buah-buahan di sepanjang Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) disifatkan sebagai perbuatan yang boleh mengundang kehadiran gajah dan meningkatkan risiko serangan terhadap pengguna jalan raya.
Sukarelawan Skuad Sungai Petani Response Team, Mohd Amir Faizal berkata, rondaan yang dilakukan oleh rakan-rakan sukarelawan sejak 11 Mei lalu mendapati terdapat longgokan buah-buahan seperti mangga dan pisang di beberapa lokasi sepanjang JRTB.
“Saya sendiri pernah dihubungi oleh wakil sebuah NGO yang menyuarakan hasrat untuk meletakkan buah-buahan di JRTB. Saya telah memberi amaran, namun dengan bukti bergambar yang diterima, nampaknya amaran itu tidak diendahkan.
“Difahamkan, buah-buahan tersebut diletakkan pada waktu malam, dan antara lokasi dikenal pasti ialah kawasan Titi Gajah, Tugu Peringatan Pembinaan JRTB, serta kawasan berhampiran jajahan Jeli, Kelantan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sebelum ini, Mohd Amir telah berkongsi gambar longgokan buah-buahan itu di Facebook miliknya, sekali gus menimbulkan kebimbangan kerana kawasan tersebut merupakan habitat semula jadi hidupan liar seperti gajah, harimau belang, harimau kumbang, beruang, dan tapir.
Laluan JRTB sejauh 123 kilometer yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan mula dibina pada tahun 1970 dan dibuka secara rasmi pada 1 Julai 1982.
Mohd Amir berkata perbuatan meletakkan makanan di tepi jalan tidak sepatutnya dijadikan amalan kerana ia boleh mengubah perilaku haiwan liar dan membahayakan pengguna jalan raya.
“Fitrah haiwan liar adalah mencari makanan sendiri. Tidak perlu kita ‘baik tidak kena tempat’ dengan meletakkan makanan di situ. Ia perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan menyusahkan pengguna jalan yang bergantung pada laluan ini untuk urusan harian,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, tiada peruntukan undang-undang khusus yang boleh digunakan untuk mengenakan tindakan terhadap perbuatan tersebut.
“Tiada peruntukan dalam mana-mana akta, termasuk di bawah bidang kuasa Perhilitan, untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang meletakkan makanan untuk haiwan liar di JRTB.
“Apa yang kita boleh lakukan sekarang ialah pendekatan kesedaran melalui nasihat dan pemasangan papan tanda. Kita sedang mereka bentuk papan tanda larangan memberi makanan yang akan diletakkan di beberapa lokasi strategik sepanjang laluan tersebut,” katanya.
Beliau turut menyeru pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dengan aktiviti yang boleh mengganggu ekosistem hidupan liar serta membahayakan keselamatan diri dan pengguna lain. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

