Amukan gajah liar isyarat jelas konflik manusia - haiwan membimbangkan

Keadaan sebuah kereta yang rosak teruk akibat diserang sekumpulan gajah liar baru-baru ini.
Keadaan sebuah kereta yang rosak teruk akibat diserang sekumpulan gajah liar baru-baru ini.
A
A
A

INSIDEN sekumpulan gajah liar yang merosakkan sebuah kenderaan di Kilometer 11 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli bukan sekadar satu kejadian terpencil tetapi isyarat jelas betapa konflik antara manusia dan hidupan liar perlu ditangani segera.

Wujudnya jalan raya utama di kawasan yang merupakan laluan migrasi gajah menjadikan interaksi antara manusia dan haiwan itu sukar dielakkan sehingga sering kali berakhir dengan peristiwa membahayakan, sama ada di pihak manusia atau haiwan itu sendiri.

Fenomena itu tidak berlaku dalam ruang kosong kerana ia sendiri berpunca daripada perubahan landskap hutan yang pesat akibat pembalakan atau pembangunan yang memaksa haiwan keluar dari habitat asal.

Walaupun pihak berkuasa telah mengambil langkah seperti memasang papan tanda amaran dan menjalankan rondaan hakikatnya, masih banyak ruang untuk penambahbaikan.

Sebelum ini juga, sudah sering kali media melaporkan insiden membabitkan gajah dan manusia di kawasan berkenaan yang sedikit sebanyak mengundang kebimbangan dalam kalangan masyarakat soal isu keselamatan.

Disebabkan itu, usaha pemulihaaan tidak boleh diletakkan di bahu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semata-mata kerana ia menuntut kerjasama rentas agensi, penyelidik dan komuniti setempat.

Bahkan dalam jangka panjang juga pembinaan laluan khas untuk haiwan, pemantauan melalui teknologi dron dan pemasangan kamera pengesan boleh menjadi antara kaedah pencegahan situasi tersebut dengan lebih berkesan.

Justeru, insiden seperti ini seharusnya menjadi penggera kepada semua pihak bahawa ekosistem kita sedang memberi amaran dan ia tidak boleh terus diabaikan.

Artikel Berkaitan:

Jika tidak ditangani segera, konflik ini bukan sahaja mengancam keselamatan manusia tetapi juga memacu kepupusan spesies terancam yang menjadi khazanah negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!