Salon rambut tawar khidmat seks diserbu

KUALA LUMPUR – Dua premis salon rambut yang menawarkan perkhidmatan seks di Kuchai Lama dan Bandar Sri Petaling, di sini, terbongkar susulan tangkapan 45 wanita warga asing pada Isnin.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 59 individu terdiri daripada tiga lelaki dan 45 wanita warga asing serta 11 warga tempatan telah diperiksa dalam operasi bermula jam 6 petang.
“Hasil pemeriksaan, seramai tiga lelaki dan 45 wanita warga asing dari Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan Laos, berusia antara 23 hingga 35 tahun, telah ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Semasa serbuan, wanita warga asing terbabit sedang leka melayan pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan pelancong asing,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, tiga lelaki warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai ‘penjaga’ turut ditahan.
“Hasil risikan selama dua minggu mendapati premis tersebut telah beroperasi sejak dua tahun lalu,” katanya.
Menurut beliau, modus operandi sindiket adalah dengan mengiklankan pakej dandanan rambut dan cucian muka untuk lelaki, namun dalam masa yang sama turut menawarkan perkhidmatan seks.

“Pelanggan boleh membuat tempahan slot perkhidmatan melalui aplikasi WeChat dan memilih wanita warga asing daripada katalog yang dihantar kepada mereka.
“Bayaran langganan antara RM150 hingga RM250 dikenakan mengikut jenis perkhidmatan yang diminta pelanggan,” jelasnya.
Zakaria berkata, premis berkenaan beroperasi dari jam 3 petang hingga 2 pagi setiap hari.
“Kesemua wanita warga asing itu tinggal di dalam premis yang turut menyediakan bilik tidur seperti asrama.
“Keuntungan daripada perkhidmatan ditawarkan dipercayai boleh mencecah RM1,000 hingga RM1,500 sehari,” katanya.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, salah guna permit, dan lain-lain kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan telah ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Kita akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang, termasuk di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
