Ditampar abang hingga pecah gegendang telinga

Kapak yang digunakan suspek ketika menghalau mangsa dalam kejadian semalam.
Kapak yang digunakan suspek ketika menghalau mangsa dalam kejadian semalam.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Seorang wanita pecah kedua-dua gegendang telinga dipercayai ditampar abang kandungnya ketika bertengkar dalam kejadian di sebuah flat di sini semalam.

Lebih malang, lelaki berkenaan turut menghalau mangsa yang berusia 21 tahun itu menggunakan sebilah kapak dan golok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku pada jam 2.30 petang ketika mangsa pulang ke rumah bersama rakan untuk mengambil kucingnya.

"Suspek dikatakan telah memegang sebilah golok selain kapak seolah-olah mahu menghalau mangsa.

Wanita itu keluar dari rumah tersebut kerana tidak mahu bergaduh," katanya ketika dihubungi tadi.

Bagaimanapun katanya, suspek masih tidak berpuas hati lalu mengikut mangsa sehingga ke kawasan parkir motosikal dan berlaku pertengkaran mulut di antara mereka sebelum lelaki itu bertindak menampar adiknya beberapa kali di muka.

Tambahnya, mangsa kemudiannya telah mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas dan disahkan kedua-dua gegendang telinganya pecah.

"Siasatan awal mendapati, mangsa dan suspek mempunyai masalah keluarga sejak beberapa tahun lalu dan ia merupakan motif pertengkaran antara mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Noorzainy memberitahu suspek berusia 29 tahun telah ditahan pada jam 7.30 petang hari sama (semalam).

"Hasil ujian saringan air kencing suspek negatif namun dia mempunyai tujuh rekod lampau melibatkan dadah dan jenayah. Lelaki itu kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.