Muhyiddin bertemu ahli Parlimen sebelum umum barisan Kabinet

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan bersama ahli-ahli Parlimen di Seri Perdana di sini, sebelum mengumumkan barisan Kabinet baharu.

Kenderaan yang membawa Muhyiddin dilihat memasuki kediaman rasmi perdana menteri itu pada kira-kira jam 3 petang dan sebelum itu kenderaan yang membawa ahli-ahli Parlimen tiba secara berperingkat.

Antara ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang kelihatan ialah Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO serta Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.

Ahli Parlimen BN yang lain yang turut kelihatan ialah Khairy Jamaluddin (Rembau), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas) serta Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong, masing-masing daripada MIC dan MCA.

Turut kelihatan bekas Timbalan Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin.

Turut juga kelihatan ialah Ahli Parlimen Keningau, Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan merangkap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Ahli Parlimen Tambun daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Faizal Uzumu juga dilihat tiba untuk menghadiri pertemuan itu.

Turut hadir beberapa pemimpin Pas, diketuai Presidennya yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin dijadual mengumumkan barisan Kabinet di Perdana Putra pada 5 petang ini.

Pada jam 11 pagi, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan senarai barisan Kabinet. - Bernama