Terlupa tarikh ulang tahun perkahwinan, Asyraf Wajdi 'tebus salah' rancang kejutan

SHAH ALAM - Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meraikan ulang tahun perkahwinan dengan merancang satu kejutan istimewa melalui bantuan pelajar kepada isterinya yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kejutan tersebut berupa jambangan bunga ros yang dihantar secara mengejut kepada isterinya, Datin Nurdianawati Irwani Abdullah sejurus selepas beliau selesai menyampaikan kuliah.
Menurut Asyraf Wajdi, beliau pada awalnya terlupa tarikh ulang tahun tersebut dan mengambil inisiatif membuka telefon bimbit isteri bagi mendapatkan nombor pelajar dalam menjayakan rancangan berkenaan.

"Alhamdulillah dapat juga buat kejutan dengan menghantar jambangan bunga ros melalui pelajar-pelajar sejurus selepas isteri tersayang selesai menyampaikan kuliahnya di UIAM.
"Buat suami-suami macam saya ini yang terlalu sibuk hingga terlupa tarikh-tarikh maha penting untuk wanita bernama isteri seperti tarikh ulang tahun perkahwinan ini, kena pandai-pandailah beli balik jiwa isteri akibat salah sendiri," katanya menerusi Facebook pada Selasa.
Beliau turut mengucapkan penghargaan atas sokongan tidak berbelah bahagi isterinya sepanjang perkahwinan mereka, sambil mendoakan agar hubungan mereka terus diberkati ALLAH SWT.
"Kepada cintaku, selamat ulang tahun. Kekuatan, kesabaran dan kasih sayang awak yang tidak berbelah bahagi dalam membesarkan enam anak kita yang berharga sementara saya menunaikan kewajipan untuk ummah adalah sesuatu yang amat saya kagumi dan akan saya syukuri selama-lamanya.
"Awak adalah nadi rumah kami dan cahaya hidup saya. Semoga ALLAH terus memberkati perjalanan kita bersama," tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

