PRN Sabah: PKR Sabah ada autonomi, sasaran 13 kerusi logik - Razeef

Razeef
Razeef
A
A
A

KOTA KINABALU - Pemangku Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin menegaskan bahawa parti itu kekal mempunyai autonominya sendiri dalam menentukan agihan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Beliau berkata, kenyataan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengenai sasaran 13 kerusi adalah angka logik sekiranya wujud kerjasama dengan gabungan lain.

"Untuk makluman, bukan sahaja PKR, malah Pakatan Harapan (PH) turut memberikan autonomi kepada pimpinan di Sabah dalam isu rundingan kerusi.

"PH kini berada di peringkat akhir rundingan sesama komponen sebelum memulakan rundingan dengan rakan gabungan lain sama ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahupun Barisan Nasional (BN).

"Malah angka 13 itu merupakan sasaran awal dan munasabah, sekiranya berlaku persefahaman antara parti," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu sebagai respons kepada dakwaan Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Anuar Ghani yang menuduh PKR Pusat masih menganggap Sabah sebagai jajahan politik, bukan rakan setara dalam Persekutuan.

Dakwaan itu dibuat susulan pengumuman Nurul Izzah bahawa PKR akan bertanding sekurang-kurangnya 13 kerusi pada PRN Sabah akan datang.

Mengulas lanjut, Razeef berkata, seperti STAR, PKR hanya akan mengumumkan tuntutan kerusi selepas rundingan bersama parti komponen dalam PH dan rakan gabungan lain dimuktamadkan.

"Ia adalah proses biasa. Namun adakah STAR sendiri berani mengumumkan kerusi yang mereka tuntut dalam GRS?

Artikel Berkaitan:

"Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah sebelum ini memaklumkan bahawa GRS dijangka bertanding di 52 kerusi. Bukankah masih berbaki 21 kerusi DUN?" soalnya.

Sehubungan itu, Razeef menyarankan agar Anuar memberi fokus kepada hala tuju partinya terlebih dahulu sebelum mengkritik jumlah kerusi yang bakal ditandingi PKR.

"Saya melihat kenyataan Anuar tiada asas, sebaliknya hanya cubaan menunggang sentimen tempatan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), seperti lazim yang dilakukan menjelang pilihan raya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!