Berang rumah bersepah, ibu tikam anak lelaki tujuh tahun

CHICAGO – Seorang wanita ditahan pihak berkuasa selepas didakwa menikam anak lelakinya yang berusia tujuh tahun hanya kerana rumah mereka bersepah.
Suspek, Llovana Torres, 26, ditahan pada pagi 17 Mei lalu selepas dipercayai menyerang kanak-kanak itu dengan pisau di kediaman mereka di Chicago.
Menurut dokumen mahkamah, wanita tersebut bangun pagi dan mendapati rumah dalam keadaan berselerak meskipun dia telah membersihkannya pada malam sebelumnya.
Dia dikatakan naik berang sebelum mula memukul anaknya, menyebabkan mangsa melarikan diri dan bersembunyi di dalam kabinet dapur di bawah sinki.
Apabila gagal menarik mangsa keluar, Torres didakwa mencapai pisau dan menikam ke dalam kabinet sehingga kedengaran jeritan anaknya menjerit “aduh”.
Setelah menyedari anaknya mengalami pendarahan, Torres membawa mangsa ke rumah ibunya yang terletak di bangunan yang sama.
Dokumen mahkamah menyatakan bahawa nenek mangsa melihat kesan tikaman pada bahagian perut kanak-kanak itu dengan "isi perut terkeluar", manakala seorang sepupu turut mendengar Torres mengaku bahawa dia mengugut akan menikam anaknya jika tidak keluar dari tempat persembunyian.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Evanston atas desakan neneknya sebelum dipindahkan ke Hospital Kanak-kanak Lurie di Chicago dengan menaiki helikopter perubatan berikutan kecederaan yang parah.
Doktor memaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan serius termasuk diafragma koyak dan beberapa kesan tikaman, serta terpaksa ditempatkan di unit rawatan rapi dengan alat bantuan pernafasan.
Torres dilaporkan memberitahu petugas kesihatan bahawa dia hanya ‘melambai-lambaikan pisau’ untuk mencari anaknya di dalam kabinet dan tidak berniat mencederakannya.
Wanita itu kini didakwa atas satu pertuduhan mencederakan kanak-kanak bawah umur 13 tahun secara serius, dan siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak berkuasa. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

