Ibu kongsi detik cemas anak perempuan tiga tahun digigit lipan ketika tidur
BANGKOK – Seorang ibu di Thailand berdepan detik cemas apabila anak perempuannya yang berusia tiga tahun tiba-tiba menjerit kesakitan ketika sedang tidur pada awal pagi Ahad lalu.
Lebih mengejutkan, selepas diperiksa, wanita itu mendapati bibir anaknya berdarah dan bengkak akibat digigit seekor lipan besar yang dipercayai merayap masuk ke dalam rumah mereka.
Kisah berkenaan dikongsi si ibu menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa lalu yang turut memaparkan keadaan wajah anaknya yang bengkak ketika insiden berlaku.
Menurut wanita itu, anaknya terjaga sambil menangis kuat, sebelum dia melihat darah membasahi muka kanak-kanak itu.
Lipan tersebut pula ditemui merayap berhampiran kipas di hujung katil.
“Saya cuba bertenang dan terus membawa anak ke hospital,” katanya dalam hantaran berkenaan yang turut bertujuan memberi amaran kepada ibu bapa lain agar lebih berwaspada ketika musim hujan.
Setibanya di hospital, doktor segera memberikan suntikan dan memeriksa keadaan mangsa secara rapi.
Doktor berkata, gigitan lipan boleh menyebabkan kesakitan dan bengkak, namun dalam kes ini tiada reaksi alahan serius dikesan terhadap kanak-kanak tersebut.
Ibu mangsa turut dinasihatkan agar meletakkan tuam sejuk pada kawasan gigitan dan diberikan ubat untuk mengurangkan gejala alahan.
Menurut laporan Channel 7 Thailand, kanak-kanak itu kini telah dibenarkan keluar hospital dan semakin pulih.
Pakar turut mengingatkan bahawa kejadian seumpama ini tidak pelik berlaku pada musim hujan, memandangkan haiwan berbisa seperti lipan cenderung masuk ke dalam rumah untuk berlindung daripada cuaca lembap dan sejuk. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
