Rumah terbakar ketika hantar anak ke sekolah

TANAH MERAH - Sebuah rumah di Kampung Ayer Chanal di sini musnah dalam kebakaran semasa pasangan suami isteri menghantar anak ke sekolah pada Ahad.
Kebakaran yang berlaku sekitar jam 7.40 pagi itu disedari pemilik kedai runcit, Halimah Abdullah, 60, yang terkejut melihat asap tebal dan nyalaan api sebelum segera menelefon bomba.
Rumah tersebut dihuni Mohd Zaman Mahamat dan keluarganya.
Seorang pekerja kedai, Aisyah Ismail, 40, berkata dia yang baru dua minggu bekerja terkejut melihat rumah berhampiran tempat kerjanya terbakar sebaik tiba sekitar jam 8 pagi.
“Jarak rumah itu sekitar 500 meter dari kedai. Saya lihat api dan orang ramai datang membantu,” katanya.
Penduduk kampung juga segera menghubungi Mohd Zaman untuk memaklumkan keadaan itu sebelum dia tiba namun rumahnya sudah hangus.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemahang, Komander Operasi Kanan Pegawai Bomba Tinggi II Disagar Mani Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.44 pagi melalui sistem Sistem Respon Kecemasan (MERS) 999.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang dan Jeli digerakkan ke lokasi dan tiba jam 8.16 pagi.
“Kebakaran melibatkan rumah jenis separuh kekal berkeluasan lebih 74 meter persegi.
“Tiada mangsa cedera atau terkorban,” katanya.
Beliau berkata, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.25 pagi dengan menggunakan dua aliran air dari tangki jentera.
Katanya, operasi melibatkan 12 anggota serta empat jentera termasuk Jentera Penyelamat Kenderaan Ringan (LFRT), Jentera Bomba dan Penyelamat (FRT), Tangki Air Bomba dan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

