Lelaki, wanita ditahan miliki senjata api tiruan

Dua individu ditahan di kedai mainan di sebuah pusat beli-belah di Sibu kerana memiliki senjata api tiruan. Gambar hiasan
Dua individu ditahan di kedai mainan di sebuah pusat beli-belah di Sibu kerana memiliki senjata api tiruan. Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Seorang wanita dan lelaki dalam lingkungan umur 25 hingga 29 tahun ditahan di kedai mainan di sebuah pusat beli-belah di sini kerana memiliki senjata api tiruan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, sebanyak 25 pucuk pistol tiruan dan 35 laras raifal tiruan dirampas dalam Op Laras oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu kira-kira jam 2.30 petang.

"Op Laras telah dijalankan serentak di seluruh Sarawak kerana terdapat aduan serta maklumat wujudnya aktiviti menjual senjata api tiruan kepada orang awam,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Zulkipli berkata, perbuatan memiliki, membeli atau menjual apa-apa bentuk senjata api tiruan merupakan satu kesalahan jenayah walau atas apa alasan sekalipun.

Sabit kesalahan katanya, boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pihak polis juga menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penjualan senjata api tiruan untuk menghubungi terus mana-mana balai polis yang berdekatan untuk diambil tindakan selanjutnya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!