AIPA tekankan keperluan tindakan tegas tangani isu Gaza, Myanmar, Ukraine

Johari semasa sidang media selepas sesi Antara Muka Pemimpin ASEAN dengan wakil AIPA sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin. Foto Bernama
Johari semasa sidang media selepas sesi Antara Muka Pemimpin ASEAN dengan wakil AIPA sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) komited untuk menangani isu global kritikal berkaitan undang-undang antarabangsa, keamanan dan kestabilan serantau, khususnya yang menjejaskan Myanmar, Ukraine serta Gaza.

Presidennya, Tan Sri Johari Abdul berkata, ketiga-tiga wilayah itu kekal sebagai keutamaan dalam agenda tahun ini.

Beliau menekankan bahawa perbincangan AIPA tertumpu kepada perkara politik dan keselamatan, berpandukan Piagam ASEAN serta menekankan keperluan mendesak untuk menangani krisis kemanusiaan di setiap rantau.

“Kami telah menggesa kerajaan ASEAN untuk mengemukakan cadangan tentang cara terbaik menyelesaikan krisis yang sedang berlaku di Ukraine dan Gaza. Keadaan di Gaza, khususnya, tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa kawalan.

“Bantuan kemanusiaan tidak boleh disekat dan apa yang berlaku di sana, pada pandangan kami, merupakan tindakan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan, sesuatu yang di luar apa yang kita boleh fahami sebagai manusia. Ini adalah perkara yang kita bincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Antara Muka Pemimpin ASEAN bersama wakil AIPA sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Isnin.

Tambah beliau, pemimpin ASEAN telah bertindak balas secara positif terhadap kebimbangan yang dikemukakan oleh AIPA.

Johari yang juga Speaker Dewan Rakyat menegaskan bahawa Gaza tidak akan diketepikan, dan mendapat perhatian sama seperti Myanmar dan Ukraine.

Dalam ucapannya, Johari turut menegaskan semula kata sepakat dalam kalangan pemimpin AIPA untuk terus menyeru kepada keamanan dan tindakan konkrit.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk gencatan senjata, pemberian bantuan kemanusiaan tanpa had serta penamatan tindakan keganasan dan pembunuhan beramai-ramai.

“Kami telah jelas dan tegas. Ini bukan sesuatu yang perlu disembunyikan. Dunia tahu apa yang berlaku di Gaza dan kami telah bercakap mengenainya secara serius serta langsung,” tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung AIPA, Siti Rozaimeriyanty Abdul Rahman, turut menyokong kenyataan Johari, sambil menegaskan keselarasan antara pendirian AIPA dan Tinjauan ASEAN di Indo-Pasifik.

Beliau menekankan komitmen AIPA untuk mempromosikan keamanan, menegakkan undang-undang antarabangsa dan menyokong kestabilan serantau melalui diplomasi serta dialog.

“Parlimen kita telah membuat seruan bersatu agar kerajaan dan badan perundangan bekerjasama untuk membina ASEAN yang aman, inklusif dan berdaya tahan, di mana pembangunan adalah adil serta semua suara didengari dalam membentuk masa depan kolektif kita,” tambahnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 kali ini diadakan di bawah tema 'Keterangkuman dan Kelestarian', selaras dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.

Ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!