Gelap mata mahu untung cepat, kerani rugi RM109,000

DUNGUN - Seorang kerani berputih mata selepas kerugian RM109,000 akibat terpedaya dengan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan menerusi laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa berusia 40 tahun yang bekerja di sebuah kedai perkakasan di sini tampil membuat laporan polis pada Ahad.
Menurutnya, kejadian bermula pada Mac lalu apabila wanita itu melihat iklan pelaburan saham menerusi Facebook dan berurusan dengan seorang ejen melalui aplikasi mudah alih WhatsApp.
"Mangsa kemudian diminta membuka akaun pelaburan dan membuat dua transaksi kemasukan wang berjumlah RM3,000 ke dalam akaun tersebut.
"Namun, selepas hampir dua minggu, mangsa tidak memperoleh sebarang keuntungan dan diminta memuat turun satu lagi aplikasi pelaburan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa kemudian memindahkan semula wang ke dalam akaun yang baru berjumlah RM2,835.31 sebelum menambah lagi RM2,000 ke dalam akaun tersebut.
"Mangsa terus membuat tujuh transaksi pemindahan wang secara berperingkat ke akaun itu dari April hingga Mei 2025 dengan jumlah keseluruhan mencecah RM109,000.
"Mangsa menyedari ditipu selepas tidak memperoleh wang yang dijanjikan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa sindiket penipuan.
"Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat, sebaliknya membuat semakan lanjut menerusi portal rasmi seperti Semak Mule CCID, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
