Lelaki hilang disambar buaya ketika pasang pukat

KINABATANGAN - Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas disambar buaya ketika sedang menangkap ikan di Sungai Koyah, di sebuah ladang di sini pada malam Ahad.
Mangsa, Jufri Untung, 30, dikatakan keluar bersama rakannya untuk menangkap ikan namun hilang selepas disambar buaya dalam kejadian tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Utoh berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.08 pagi Isnin daripada pihak polis bagi mendapatkan bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Menurut rakan mangsa, mereka turun ke sungai memasang pukat. Bagaimanapun, ketika kejadian dia dilanggar buaya tersebut manakala mangsa ditarik dan disambar sehingga lenyap dari pandangan.
“Susulan kejadian itu, operasi SAR segera dilancarkan di tepi sungai, namun sehingga kini mangsa masih belum ditemui,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambah beliau, perkembangan mengenai operasi akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
