Disambar petir ketika mahu tutup pintu kereta

JASIN - Seorang lelaki nyaris maut selepas terpelanting akibat dipanah petir di rumah ibu mentuanya di Kampung Batang Melaka, di sini, pada petang Ahad.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang, Muhammad Hafizuddin Mihat, 34, berkata, ketika itu cuaca hujan lebat dan dia sedang berjalan keluar rumah menggunakan payung untuk menutup pintu kereta.
Menurutnya, namun secara tiba-tiba petir menyambar pokok durian yang sudah mati berhampiran tempat dia berdiri sebelum mengenai dirinya.
"Ketika menghampiri kereta tiba-tiba petir menyambar pokok dan kemudian saya terpelanting seperti kena bom dan jatuh terduduk.
"Saya seperti kebingungan waktu itu dan melihat rupa pokok durian yang sudah pecah akibat dipanah petir,” katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.
Dia yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Jasin berkata, dalam keadaan kebingungan dia berusaha menyelamatkan diri dan bergegas berlari ke beranda rumah.
Ujarnya, ketika itu dia bimbang sekiranya terkena panahan petir kali kedua dan sebaik sahaja masuk ke beranda rumah dia terus rebah.
"Ahli keluarga termasuk isteri, Noor Liza Ramly, 33, anak-anak, kakak ipar dan adik ipar cuba menyelamatkan saya dan nampak mereka mula menangis.
"Ketika itu saya hanya fikir akan mati sambil mengucap di dalam hati sebelum rasa sakit semakin berkurangan," ujarnya yang bersyukur kerana seolah-olah diberikan peluang kedua untuk hidup.
Tambah bapa kepada empat anak berusia enam bulan hingga 8 tahun itu, dia tidak berhenti mengucap syukur kerana ALLAH SWT terlalu baik dan memberikannya peluang kedua untuk masih bersama keluarga sehingga saat ini.
"Jika tidak saya mungkin sudah mati dipanah petir, pemeriksaan doktor memaklumkan saya tidak mengalami kecederaan serius kecuali kedua-dua ibu jari kaki yang terasa seperti terkena renjatan," katanya lagi.
Tambahnya, berharap apa yang dilalui menjadi iktibar kepada orang lain dan sehingga sekarang dia masih trauma malah serik untuk keluar rumah ketika hujan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

