Wanita dilaporkan hilang ditemui mati dalam kereta di Pantai Remis

KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Polis mengesahkan mayat ditemui dalam sebuah kereta Proton Saga di Pantai Remis Jeram di sini adalah Yong Jia Yein, 34, yang dilaporkan hilang sejak 31 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, polis menerima maklumat itu kira-kira jam 2 pagi selepas menerima panggilan telefon dari anggota MPV yang sedang membuat rondaan di pantai berkenaan.
"Mayat perempuan itu ditemui dalam sebuah kereta Proton Saga kelabu di kawasan parkir Pantai Remis," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau memberitahu, pemeriksaan pada kenderaan terbabit mendapati keempat-empat pintu kereta terkunci dari dalam dan mayat dikeluarkan oleh bomba.
Beliau memberitahu, hasil semakan mendapati mayat tersebut adalah adik pengadu yang dilaporkan hilang sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan fizikal atau unsur jenayah.
"Mayat dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR)," tambah beliau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Sebelum ini, media melaporkan polis sedang cuba mengesan seorang wanita bernama Jia Yein yang dilaporkan hilang.
Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, wanita itu meninggalkan rumahnya di Kondominium Pelangi Utama dengan menaiki sebuah kenderaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!