Timor-Leste sasar keanggotaan penuh ASEAN hujung tahun ini

KUALA LUMPUR - Timor-Leste yakin bakal meraih keanggotaan penuh dalam ASEAN menjelang hujung tahun ini, dengan bulan Oktober dilihat kemungkinan pencapaian bersejarah itu berlaku.
Perdana Menterinya, Xanana Gusmão menyuarakan keyakinan terhadap proses itu dan berkata, negaranya telah mencatat kemajuan ketara dalam memenuhi kriteria yang ditetapkan.
"Kami berharap proses ini dapat diselesaikan menjelang hujung tahun, mungkin pada Oktober, memandangkan terdapat sokongan meluas dari negara anggota ASEAN.
"Kami telah melakukan yang terbaik dan memenuhi sebahagian besar keperluan yang ditetapkan. Sudah tentu masih ada satu, dua atau tiga lagi (keperluan) yang akan kami usahakan,” katanya kepada pemberita semasa temu bual ringkas sebelum menghadiri sesi pertemuan pemimpin ASEAN-AIPA (Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN) ke-14 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Isnin.
Timor-Leste, yang mula memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011 telah diberikan status pemerhati dalam mesyuarat peringkat tinggi pada 2022. Bagaimanapun, proses integrasi sepenuhnya masih dalam penilaian.
Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas pada Ahad berkata, penyertaan penuh dalam ASEAN bukan sahaja penting dari segi manfaat ekonomi, tetapi juga untuk memperkukuh suara Timor-Leste di peringkat serantau.
"Keanggotaan penuh amat penting bagi negara kecil berpenduduk 1.4 juta ini, bukan sahaja dari sudut faedah ekonomi, tetapi juga kerana kedudukannya yang strategik antara Indonesia dan Australia, sejajar dengan Pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
