Dua beradik dijel, sebat rompak guna pisau dan pemutar skru

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Gara-gara merompak menggunakan pisau dan pemutar skru, dua beradik terpaksa meringkuk dalam penjara selama 45 bulan dan satu sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Azmi Osman, 28, dan abangnya Mohd Yusni Osman, 42, bermula dari tarikh ditangkap pada Januari 2023 selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu.
Berdasarkan pertuduhan, kedua mereka dengan niat bersama didapati melakukan rompak berkumpulan menggunakan pisau dan pemutar skru serta mengambil wang tunai berjumlah RM900, kad bank, kad pengenalan negara India dan lesen memandu seorang lelaki warga India di kawasan belakang sebuah kilang di Ayer Keroh di sini, kira-kira jam 1.34 tengah hari 21 Januari 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan hukuman penjara dan sebatan sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Peguam Chia Cheng Wee yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan kerana anak guamnya telah insaf sepanjang ditahan di penjara sejak dua tahun lalu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 45 bulan bermula dari tarikh ditangkap pada Januari 2023 dan satu sebatan kepada setiap tertuduh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

