Gangguan air: 155,074 akaun pengguna di Johor terima rebat 15 peratus

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU – Sebanyak 155,074 akaun pengguna air melibatkan kategori domestik dan bukan domestik akan menerima rebat sebanyak 15 peratus bagi bil air bulan ini susulan gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan baru-baru ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata rebat tersebut melibatkan akaun pengguna termasuk kediaman individu, rumah ibadat, institusi kebajikan, premis perniagaan dan industri.

Menurut beliau, rundingan bersama pihak Ranhill SAJ telah diadakan bagi mencari penyelesaian yang adil dan bertanggungjawab.

“Saya sedar dan insaf bahawa bantuan ini mungkin tidak setara dengan kesusahan yang dialami oleh mereka yang terkesan.

“Namun, saya berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, pada Isnin.

Sebelum itu, isu gangguan bekalan air telah dibangkitkan oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas krisis bekalan air berlaku pada Rabu minggu lalu.

Antara kawasan yang disebut termasuk Benut, Kukup, Pemanis, Sri Medan, Panti, Kahang, Tiram, Pulai Sebatang, Kota Iskandar, Johor Jaya, Kemelah, Sungai Balang, Bukit Naning dan Skudai.

Artikel Berkaitan:

Onn Hafiz, yang juga ADUN Machap, turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Johor yang terkesan dengan gangguan air tersebut.

“Rakyat terpaksa bersusah payah selama empat hari tanpa bekalan air yang mencukupi.

“Saya faham, ini bukan satu isu kecil, lebih-lebih lagi apabila ia mengganggu kehidupan seharian keluarga, pengoperasian sekolah, hospital dan premis perniagaan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri telah mengarahkan Ranhill SAJ untuk membaik pulih kerosakan pada pam air dan menggerakkan segala jentera serta tenaga kerja bagi mengurangkan kesusahan rakyat.

“Sebanyak 42 lori tangki air, 51 tangki statik, dan 13,000 karton air mineral telah dihantar ke kawasan-kawasan terjejas sepanjang tempoh tersebut.

“Sebuah pasukan petugas (task force) juga telah ditubuhkan bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa akan datang,” ujarnya.

Pada Rabu minggu lalu, kira-kira 100,000 akaun pengguna di sekitar Johor Bahru terjejas susulan kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, dilaporkan berkata kerosakan tersebut menyebabkan operasi LRA Sungai Johor terpaksa dihentikan sepenuhnya sejak petang Selasa.

Beliau berkata, gangguan itu mengakibatkan 318 juta liter sehari (MLD) tidak dapat diagihkan kepada pengguna di kawasan terbabit.


Penggal Kerajaan Johor berakhir April 2027, ADUN perlu fokus hal rakyat

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor menegaskan penggal pentadbiran negeri hanya akan tamat pada April 2027, sekali gus menepis tanggapan bahawa pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu perlu difahami semua pihak agar tidak timbul spekulasi yang boleh mengganggu fokus pentadbiran dalam menyantuni rakyat.

“Saya ingin mengingatkan bahawa ini bukan semestinya pilihan raya.

"Penggal kita akan tamat pada bulan April, 2027,” katanya ketika menutup persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Isnin.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di pihak kerajaan negeri dan pengimbang yang telah membahaskan isu-isu rakyat dengan penuh adab dan sopan sepanjang persidangan.

“Saya akan melaporkan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bahawa semua Ahli Dewan menjunjung tinggi keharmonian dan menunjukkan semangat muafakat dalam dewan yang mulia ini.

"Perkara ini telah ditegaskan oleh Pemangku Sultan Johor agar semua pihak perlu mencari titik persamaan demi perpaduan dan mengelakkan perbezaan yang boleh memecahbelahkan rakyat.

“Johor mesti menjadi contoh. Marilah kita mendengar bukan sahaja dengan telinga, tetapi juga dengan hati dan jiwa. Jangan hanya bercakap untuk direkodkan, tetapi bercakaplah untuk bertindak dan menyelesaikan isu rakyat,” katanya lagi.

Beliau turut merayu kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), jabatan dan agensi agar memberi komitmen sepenuhnya dalam setiap sesi persidangan.

“Rakyat menjangkakan tindakan yang tepat daripada kita semua. Jangan hanya tunggu sidang DUN untuk menyurarakan isu rakyat.

"Tetapi manfaatkan mesyuarat tindakan kerajaan negeri di kawasan masing-masing untuk bawa isu rakyat," ujarnya.

Pada 16 Mei, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa semua ADUN Johor perlu menumpukan sepenuhnya kepada tanggungjawab mereka dalam memberi khidmat kepada rakyat, dan bukan berpolitik seperti ketika musim pilihan raya.

Baginda bertitah, kesemua 56 ADUN yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 seharusnya menjalankan amanah dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri.

Sebelum ini, beberapa pimpinan parti politik negeri mengeluarkan kenyataan menjangkakan PRN Johor mungkin diadakan seawal tahun depan, sehingga mencetuskan polemik dalam kalangan parti politik berkaitan isu kerjasama sama ada untuk bertanding secara solo atau bersama Kerajaan Perpaduan.

Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi DUN Johor.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi, manakala PKR dan Muda masing-masing memperoleh satu kerusi.


222 projek bernilai RM10.8 bilion belum dilaksana sejak 2016

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 222 projek pembangunan di Johor yang melibatkan peruntukan RM10.8 bilion masih belum dilaksanakan sejak diluluskan pada tahun 2016.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata projek-projek berkenaan yang merangkumi keperluan asas seperti hospital dan sekolah masih berada di peringkat pra-pelaksanaan meskipun telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Ini adalah perkara serius kerana peruntukan telah pun tersedia tetapi kerja-kerja pelaksanaan masih belum bermula sehingga kini.

“Majoriti projek ini menyentuh kepentingan rakyat dan seharusnya dilaksanakan segera,” katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, pada Isnin.

Onn Hafiz, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, turut memaklumkan bahawa setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan diberi tugasan khusus untuk mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut.

“Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberi kebenaran supaya kita mengambil tindakan memastikan projek-projek tertangguh ini dapat diteruskan.

“Setiap Exco akan ‘memanjat’ pejabat kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan projek-projek ini dilaksanakan segera,” katanya.

Menurut beliau, barisan kepimpinan negeri bertanggungjawab untuk berkhidmat kepada dua pihak utama.

“Exco Johor ada dua ‘bos’: satu adalah Institusi Diraja Johor dan satu lagi adalah rakyat Johor. Jadi, apa yang kita lakukan ini adalah demi kebaikan negeri dan rakyat,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!