KPDN gempur tapak projek, rampas 15,455 liter diesel tanpa permit

Anggota KPDN memeriksa tapak projek pembinaan di Merang, Setiu dan merampas 15,455 liter minyak diesel tanpa permit dianggarkan bernilai RM44,819.50.
Anggota KPDN memeriksa tapak projek pembinaan di Merang, Setiu dan merampas 15,455 liter minyak diesel tanpa permit dianggarkan bernilai RM44,819.50.
A
A
A

SETIU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas 15,455 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM44,819.50 dalam satu serbuan di sebuah tapak projek pembinaan di Merang, di sini pagi Ahad.

Serbuan kira-kira jam 10 pagi itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu oleh empat anggota penguat kuasa KPDN cawangan Besut yang berjaya menemukan sebuah tangki simpanan diesel (skid tank) dipercayai untuk kegunaan jana kuasa di kawasan terbabit.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, pemeriksaan lanjut mendapati syarikat terbabit gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan bagi penyimpanan bahan api berkenaan.

Anggota KPDN memeriksa lokasi tapak projek yang menyimpan bahan api tanpa syarikat terbabit sebarang permit atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.
Anggota KPDN memeriksa lokasi tapak projek yang menyimpan bahan api tanpa syarikat terbabit sebarang permit atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.

"Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan tindakan turut akan diambil terhadap pihak pembekal yang menyalurkan minyak diesel kepada entiti tanpa kelulusan sah," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau menegaskan, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menyeleweng barangan kawalan, khususnya bahan api bersubsidi seperti diesel.

"Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta bagi kesalahan pertama, dan RM3 juta atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.

"Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah sehingga RM2 juta untuk kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan agar kegiatan ini dapat dibanteras hingga ke akar umbi.

"Pihak kementerian akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh negeri bagi memastikan aktiviti haram seperti ini tidak terus berleluasa dan menjejaskan kepentingan rakyat serta ekonomi negara,"ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!