Perpaduan ASEAN kekal utuh di sebalik cabaran, konsensus lima perkara masih relevan

Kao Kim Hourn. Foto Bernama
Kao Kim Hourn. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn menegaskan bahawa blok serantau itu kekal bersatu dan komited terhadap kepusatan dan solidaritinya, meskipun berdepan tekanan luar dan cabaran berterusan seperti ketegangan di Laut China Selatan dan krisis di Myanmar.

Bercakap kepada media di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, Kim Hourn berkata, komitmen itu dizahirkan apabila Menteri-Menteri Luar ASEAN yang bersidang dalam empat mesyuarat berasingan semalam secara kolektif mengulangi bahawa kekuatan ASEAN terletak pada perpaduan dan peranan kepusatannya dalam rantau ini.

"Mesejnya sangat jelas. Menteri-Menteri Luar ASEAN bukan sahaja menekankan perpaduan, tetapi turut menegaskan bagaimana ASEAN akan terus bekerjasama menghadapi waktu yang mencabar ini,” katanya.

Kim Hourn, yang mengetuai delegasi Sekretariat ASEAN ke Sidang Kemuncak ini serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama, berkata, ASEAN secara konsisten menyuarakan pendirian bersama dalam isu serantau dan global, sama ada dalam kalangan anggota sendiri mahupun ketika berinteraksi dengan rakan luar.

Mengulas pengumuman Malaysia untuk menghantar delegasi ke Myanmar bagi meneruskan penglibatan dengan pihak berkepentingan di sana, beliau menyifatkan langkah itu mencerminkan peranan aktif Pengerusi ASEAN dan Utusan Khas ASEAN Mengenai Myanmar.

"Kita dapat lihat bahawa di bawah Kepengerusian Malaysia tahun ini, negara ini sangat proaktif dan konsisten dalam memimpin ASEAN, khususnya dalam usaha mendekati Myanmar,” katanya.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada tindakan pantas Malaysia bersama Thailand yang memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN bagi membincangkan kaedah penyaluran bantuan apabila Myanmar dilanda gempa bumi bermagnitud 7.7 pada Mac lepas.

"Mesyuarat itu diadakan segera untuk menyelaras pendirian bersama ASEAN. Susulan itu, kita menyaksikan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Myanmar, sama ada secara kolektif mahupun individu oleh negara anggota,” katanya.

Kim Hourn turut memaklumkan bahawa ASEAN terus memainkan peranan penting dalam menggerakkan sokongan serantau dan antarabangsa menerusi platform yang diselaraskan ASEAN.

Artikel Berkaitan:

Mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, Kim Hourn berkata, ASEAN kekal teguh dengan pendiriannya.

"Kita mahu melihat satu gencatan senjata jangka panjang, penolakan keganasan, dialog politik yang inklusif serta peningkatan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Myanmar yang terkesan akibat krisis politik dan bencana alam baru-baru ini,” katanya.

Menjawab soalan sama ada ASEAN akan mendesak junta tentera Myanmar mengadakan rundingan langsung dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan pihak berkepentingan lain, Kim Hourn mengulangi pendirian ASEAN:

"Kita mahu melihat dialog politik yang inklusif melibatkan semua pihak berkepentingan utama. Apa yang saya perhatikan ialah Malaysia agak ke hadapan dalam menunjukkan kepimpinan, dengan sokongan negara anggota ASEAN,” katanya.

Walaupun terdapat kebimbangan terhadap pengaruh luar dan perpecahan dalaman, Kao menegaskan bahawa konsistensi, perpaduan dan komitmen ASEAN terhadap keamanan dan kestabilan serantau kekal tidak berubah. - Bernama


Naik taraf perjanjian perdagangan ASEAN-China pacu peluang, pelaburan

KUALA LUMPUR - Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (CAFTA) 3.0 yang dinaik taraf dan dijadualkan untuk dimeterai akhir tahun ini, melambangkan kemajuan penting dalam memperkukuh perdagangan, pelaburan dan keterhubungan dua kuasa ekonomi berkenaan, kata Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Beliau berkata pemuktamadan CAFTA 3.0 juga tepat pada masanya dan penting berikutan ketidaktentuan ekonomi global.

"ASEAN dan China telah mengusahakan naik taraf ini bagi beberapa lama. Pada tahun lepas, kedua-dua pihak mencapai hasil yang penting, namun hanya tahun ini kita dapat memuktamadkan naik taraf sepenuhnya kepada versi 3.0," katanya pada sesi temu bual media di sini, pada Ahad.

Kim Hourn berada di ibu negara bagi mengetuai delegasi Sekretariat ASEAN ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.

Menjelaskan selanjutnya, beliau berkata, usaha itu penting dalam memastikan FTA kekal relevan selain responsif terhadap realiti perdagangan semasa, terutama memandangkan jumlah dagangan antara ASEAN dan China.

"China misalnya merupakan rakan dagang nombor satu ASEAN selama 16 tahun berturut-turut dan ASEAN pula adalah rakan dagang utama China sejak lima hingga enam tahun ini.

"Ini sudah cukup untuk memaparkan kekuatan hubungan ekonomi kita," katanya.

Sehubungan itu, Kim Hourn optimis perjanjian yang dinaik taraf itu dapat membuka lebih banyak peluang bagi perniagaan di kedua-dua pihak menerusi peningkatan kemudahan perdagangan, aliran pelaburan serta kesalinghubungan pelancongan.

Lebih ketara lagi, kata Kim Hourn, gabungan ASEAN dan China membuka pasaran yang merangkumi dua bilion orang.

"Oleh itu, naik taraf ini amat penting, khususnya pada masa ini yang menyaksikan dinamik ekonomi global serta ketidaktentuan," katanya.

Momentum yang didorong oleh pelancaran CAFTA pada 2010, turut menyumbang kepada pertumbuhan perdagangan dua hala yang memberangsangkan.

Reputasi kedua-dua pihak sebagai rakan dagang turut menyaksikan nilai dagangan dua hala pada tahun lepas mencecah hampir AS$1 trilion (AS$1=RM4.23).

Kim Hourn turut berkongsi harapan terhadap mesyuarat yang bakal berlangsung beberapa hari ini, termasuk melihat barisan pemimpin ASEAN dan rakannya menegaskan lagi komitmen bersama terhadap perdagangan terbuka serta sistem dagangan antarabangsa yang berteraskan undang-undang.

"ASEAN kekal terbuka, telus dan komited penuh kepada sistem pelbagai hala dengan terasnya adalah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Kita tidak pernah berundur daaripada pendirian ini," katanya.

Pada masa sama, tegasnya, pendirian ASEAN kekal konsisten sebagaimana dipaparkan dalam kenyataan bersama kalangan menteri-menteri ekonomi ASEAN dan pemimpinnya yang mengesahkan lagi dedikasi mereka terhadap pelbagai hala.

"ASEAN bekerjasama erat dengan tujuh rakan FTA dua hala kita -- China, Jepun, Korea, Australia, New Zealand, India dan Hong Kong bersama dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang disertai 15 negara.

"Kita perlu terus menegakkan apa yang dipercayai iaitu perdagangan terbuka berpaksikan undang-undang," katanya.

FTA ASEAN-China yang ditandatangani pada 2004 dan dilaksanakan pada 2010, adalah antara rangka kerja perdagangan paling komprehensif di ASEAN.

Perjanjian dinaik taraf atau 3.0 akan datang pula bertujuan memperdalam usaha liberalisasi serta dapat diselaras dengan trend perniagaan dan ekonomi digital semasa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!