Bukan jual harta kerana masalah kewangan, Saharul Ridzwan beli kereta lebih selesa

Saharul Ridzwan hadir bersama isteri dan anak-anak di bilik pameran kereta bagi menerima kenderaan baharu mereka.
Saharul Ridzwan hadir bersama isteri dan anak-anak di bilik pameran kereta bagi menerima kenderaan baharu mereka.
A
A
A

SEJAK beberapa hari lalu, nama Saharul Ridzwan menjadi bualan hangat warga maya selepas beliau mendedahkan telah menjual kereta milik isterinya, Deena Amir.

Apa yang menyentuh hati warga maya ialah apabila Saharul, 37, mengakui bahawa kereta jenis Honda Jazz itu merupakan hadiah sempena ulang tahun perkahwinan mereka.

Susulan itu, timbul andaian bahawa aktor tersebut berdepan masalah kewangan, apatah lagi beliau sebelum ini telah menjual beberapa aset peribadi lain seperti kereta Mercedes-Benz dan sebuah kondominium di Cyberjaya pada tahun lalu.

Namun begitu, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas kerana pemilik nama sebenar Muhammad Saharul Ridzwan Hashim itu sebenarnya beralih kepada kenderaan serba guna (MPV).

Tidak lagi memilih kenderaan jenis sedan atau hatchback, aktor drama Hati Perempuan itu kini memiliki sebuah Toyota Alphard.

Momen gembira tersebut dikongsikan oleh wakil jualan kenderaan berkenaan menerusi laman sosial Instagram.

"Hari penyerahan yang cukup bermakna bersama seorang lelaki sejati, lembut dalam percakapan dan mengutamakan keluarga yang saya hormati.

"Bukan kali pertama berurusan, tetapi setiap kali tetap rasa istimewa. Semoga kenderaan baharu ini membawa lebih banyak momen indah bersama keluarga tercinta!" kongsi akaun @rd_garage_ dan @fglmotorsports.

Artikel Berkaitan:

Saharul dilihat hadir bersama isteri dan anak-anak di bilik pameran kereta bagi menerima kenderaan baharu mereka.

Video berdurasi satu minit 12 saat itu jelas memaparkan kegembiraan mereka sekeluarga menerima kenderaan yang baharu dibeli.

Menurut Saharul, beliau pada awalnya berminat dengan model Toyota Voxy sebelum memilih Toyota Alphard.

"Dulu masa saya tolak (jual) Mercedes, saya tanya tentang Toyota Voxy.

"Selepas setahun, Alhamdulillah, ALLAH beri rezeki. Rezeki anak-anak," katanya.

Selain MPV mewah yang baharu dibeli itu, warga maya turut tertarik dengan nombor plat kenderaan berkenaan yang dipercayai bernilai tinggi dan mempunyai maksud tersendiri.

Terdahulu, Saharul pernah mendedahkan bahawa beliau menjual beberapa harta bagi mengurangkan beban kewangan dan demi kestabilan keluarga.

Sebagai makluman, Saharul berkahwin dengan Deena, atau nama penuhnya Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, pada 16 September 2016.

Hasil perkongsian hidup, pasangan bahagia ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Muhammad Luth Ali, 8, Fateema Azzahra, 5, dan Khadijah Alkubraa, 2.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!