Abang sebak lihat slip SPM arwah adik

Amirul memuat naik keputusan SPM Allahyarham Ammar hingga menarik perhatian ramai. Gambar kenangan Amirul bersama Allahyarham Ammar (baju hitam).
Amirul memuat naik keputusan SPM Allahyarham Ammar hingga menarik perhatian ramai. Gambar kenangan Amirul bersama Allahyarham Ammar (baju hitam).
A
A
A

SHAH ALAM - Pemergian adik kesayangan akibat menghidapi penyakit kanser usus atau kolorektum membuatkan si abang meluahkan kesedihan kehilangan Ammar Safwan Nor Azliy, 18, terutama ketika pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Amirul Syazwan, 21, berkongsi berita tersebut di Twitter selain memuat naik slip SPM milik Allahyarham dengan kapsyen, "Mungkin Ammar tak dapat rezeki di dunia, tapi insya-ALLAH rezeki Ammar melimpah di akhirat sana."

Ujar mahasiswa jurusan sains kimia (forensik) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Ammar sepatutnya menduduki peperiksaan SPM pada tahun lalu bagaimanapun terlantar di hospital setelah didiagnos kanser usus tahap tiga.

"Arwah mengalami sakit kanser usus, tahap tiga yang kemudian menjadi lebih teruk. Mula-mula tumor dikesan di Hospital Columbia Asia pertengahan Ogos 2018.

"Sebelum ini disangka hanya sembelit atau sakit perut biasa dan menerima rawatan di beberapa klinik di tempat pengajiannya di Kota Bharu.

"Namun tidak sangka, kanser itu merebak dengan pantas yang akhirnya, arwah meninggal dunia pada 23 Disember lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

/p>

Allahyarham Ammar memeluk ibunya.
Allahyarham Ammar memeluk ibunya.

Menurut anak sulung dari tiga beradik ini, keputusan SPM Allahyarham diambil oleh ibunya yang juga bekas guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tajul Ariffin, Manong, Perak.

Artikel Berkaitan:

"Ibu yang menerima keputusan tersebut sangat sebak terutama selepas menerima keputusan arwah. Tidak berhenti menangis mengenangkan arwah.

"Kami seluruh keluarga sangat sebak dan turut menangis, ibu dan arwah memang sangat rapat kerana arwah adik yang manja," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya perasaan apabila kisahnya tular di laman sosial selepas memuat naik keputusan Allahyarham Ammar dengan sembilan subjek tertulis tidak hadir, ujar Amirul dia sudah menjangkakan perkara tersebut akan berlaku.

"Saya tidak minta untuk semua ini tular. Sebelum ini, saya gemar berkongsi kisah arwah terutama ketika dia bertarung nyawa dengan penyakitnya. Ini kerana kata-kata semangat dari pelayar Twitter akan saya kongsikan dengan arwah.

"Memang luluh hati tengok arwah sakit dan mengerang kesakitan. Saya berasa terharu dan bersyukur kawan dan kenalan saya sering memberi kata kata semangat sebab itu saya selalu post tentang sakit arwah, untuk menaikkan semangat arwah menjalani prosedur rawatan yang sakit dan panjang," jelasnya.

Gambar kenangan Allahyarham Ammar (kiri) bersama keluarganya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 2018.
Gambar kenangan Allahyarham Ammar (kiri) bersama keluarganya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 2018.

Menyifatkan Allahyarham adik yang paling rapat selain rakan sepermainan dalam apa sahaja aktiviti yang dilakukan, Amirul mengakui kehilangannya cukup pedih dan perit untuk dirasai.

"Sebagai seorang abang, kehilangan adik lelaki memang amat pedih dan perit rasanya. beliau merupakan rakan paling rapat saya dalam keluarga, rakan sepermainan video saya, rakan gusti, rakan rebut makanan dan segala apa kami lakukan sama-sama, saya rindu dan mungkin tak akan sama dengan orang lain.

"Ammar juga seorang yang peramah, pertuturannya juga sopan berbanding saya. Disebabkan sikapnya yang cukup prihatin dan penuh kasih sayang membuatkan kami rasa sangat kehilangannya. Dugaan ini cukup berat untuk kami tanggung, namun tetap reda kerana itu adalah takdirnya," katanya yang tinggal di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Allahyarham telah dikebumikan di kampung halaman mereka di Tanah Perkuburan Islam Chempaka di Kelantan.

Dalam pada itu, rata-rata netizen yang mengetahui kisah di sebalik slip keputusan SPM tersebut turut bersimpati dan mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.