Ubai, Shila sebak bergambar bersama potret arwah ibu atas pelamin

Tangkap layar video yang dikongsi peminat di TikTok.
Tangkap layar video yang dikongsi peminat di TikTok.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengantin baharu, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli dan Shila Amzah yang selamat diijabkabulkan hari ini, tidak dapat menahan sebak ketika sesi bergambar di atas pelamin bersama potret arwah ibu kepada pempengaruh sosial itu yang baharu meninggal dunia enam hari lepas.

Sebelum ini, Ubaidillah memaklumkan majlis pernikahan tersebut diteruskan sebagaimana pesanan terakhir Allahyarham ibunya yang tidak mahu ia ditangguhkan walau apapun terjadi.

Menerusi video yang dikongsi di TikTok, pasangan yang berpakaian serba putih itu kelihatan menitis air mata sambil memegang foto Allahyarham Rohani Jamal.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.45 petang, 31 Julai lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kanser ovari dihidapinya sejak Disember 2022.

Shila sah bergelar isteri kepada Ubaidillah dengan sekali lafaz pada jam 10.27 pagi Sabtu.

Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Amir Hamzah Salleh atau ND Lala dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Darul Ehsan Taman Tun Razak Ampang, Mohamad Khairi Hussein.

Pada majlis yang berlangsung di The Boathouse Ampang itu, Shila menerima mas kahwin RM20,000 berserta lima dulang hantaran. Manakala Shila membalas tujuh dulang buat Ubai, tetapi pasangan itu memilih untuk merahsiakan wang hantaran.

Terdahulu, pasangan ini melangsungkan majlis pertunangan pada 27 Mei lalu.

Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila bercerai pada Februari 2022.

Hasil perkahwinan, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia empat tahun.