Minggu yang terpanjang

A
A
A

DUA minggu lepas adalah minggu yang terpanjang dalam sejarah Malaysia. Sejak awal apabila diberitakan bahawa perjumpaan-perjumpaan politik sedang berlangsung di serata Lembah Klang pada hari Ahad, 23 Februari 2020, rakyat Malaysia telah menempuhi pelbagai emosi dan perasaan berkaitan politik serta hala tuju negara.

Bayangkan beberapa hari sebelum itu kita ada jemaah Menteri yang berfungsi dan kita sedang menangani wabak koronavirus (Covid-19) dengan baik.

Seminggu selepas itu, negara tidak lagi mempunyai jemaah Menteri. Kita mempunyai Perdana Menteri baharu dan kerajaan yang baharu.

Banyak kekeliruan dan kecelaruan yang timbul dalam minggu tersebut tetapi apa yang jelas ialah mantan Perdana Menteri telah meletakkan jawatan selepas babak pertama ‘Langkah Sheraton’ tidak berjaya dan kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

Apa yang jelas juga ialah Yang di-Pertuan Agong telah membuat wawancara secara bersemuka dengan semua ahli Parlimen untuk menentukan siapa yang pada hemat Seri Paduka Baginda mempunyai sokongan majoriti.

Melalui sesi wawancara itu, tidak dapat dipastikan siapa yang mempunyai sokongan majoriti. Oleh itu, Agong telah bertemu dengan ketua-ketua parti untuk mendapat tahu tentang siapa yang disokong parti-parti tersebut secara 'en-bloc'.

Akhirnya, Agong telah melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan. Pada minggu ini, Perdana Menteri dijangka menasihati Agong untuk membentuk Jemaah Menterinya.

Persoalan juga timbul mengenai sama ada Muhyiddin benar-benar mempunyai sokongan majoriti, namun perkara itu hanya akan diuji apabila Parlimen bersidang semula pada Mei nanti selepas sidang yang sepatutnya berlangsung pada Mac ditangguhkan.

Artikel Berkaitan:

Yang pasti adalah mereka yang kalah pilihan raya kini dapat membentuk kerajaan. Panggil walau apapun nama buat kerajaan ini, inilah realiti yang tidak ada sesiapa dapat nafikan.

Persoalan juga timbul mengenai dasar-dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sama ada ia akan diteruskan atau dihentikan. Perdana Menteri dalam ucapan sulungnya ada merujuk kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 seperti suatu indikasi bahawa ia akan diteruskan.

Perlu diingat bahawa kerajaan baharu tidak mempunyai manifesto kerana parti-parti yang membentuk kerajaan ini mempunyai manifesto yang berbeza.

Bersatu dengan manifesto PH, Barisan Nasional (BN) dengan manifestonya dan Pas dengan manifesto Gagasan Sejahtera. Maka, rakyat tidak punya rujukan untuk memastikan bahawa janji kerajaan itu dipenuhi.

Kita tidak tahu apa prinsip dan dasar gabungan baharu itu. Adakah mereka bersama hanya demi kuasa atau sebaliknya?

Dan apa peranan rakyat dalam krisis politik ini sebenarnya? Adakah kita sekadar penonton sahaja, melihat wayang politik yang berlangsung di hadapan mata.

Ada ramai yang kononnya bercakap bagi pihak rakyat tapi ada mereka tanya rakyat apa yang rakyat mahukan?

Pada 22 bulan lalu, kerajaan BN ditumbangkan dek suara keramat rakyat melalui pilihan raya umum, namun 22 bulan selepas itu, kerajaan PH ditumbangkan dek percaturan politikus-politikus.

Orang tanya saya, apa guna kita membuang undi kalau kerajaan boleh dibentuk melalui perbincangan elit politik dalam hotel-hotel mewah?

Selepas minggu yang terpanjang dalam sejarah, saya tidak tahu jawapannya.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur